Bayu Somerset raikan anak yatim, hadirkan senyuman yang lebih bermakna di Kangar

KANGAR: Ada kalanya, sebuah majlis pembukaan tidak hanya membuka pintu sebuah butik, malah membuka ruang kepada lahirnya kenangan yang akan terus mekar dalam ingatan. Di sebalik deretan helaian busana yang tersusun kemas dan suasana penuh keceriaan, Bayu Somerset memilih untuk mengisi detik istimewa itu dengan sesuatu yang jauh lebih bernilai apabila meraikan anak-anak yatim daripada Pertubuhan Kebajikan Rumah Anak Yatim Mak Teh sempena pembukaan cawangannya di Kangar Jaya Mall.

Suasana yang pada awalnya dipenuhi debaran meraikan perkembangan jenama tempatan itu bertukar menjadi lebih indah apabila gelak tawa dan senyuman anak-anak yatim memenuhi ruang butik. Kehadiran mereka bukan sekadar memeriahkan acara, malah menjadi pelengkap kepada sebuah sambutan yang membawa makna lebih mendalam. Seolah-olah mengingatkan bahawa kebahagiaan akan terasa lebih sempurna apabila dikongsi bersama insan lain.

Majlis berkenaan turut diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, Raja Puan Muda Perlis, bersama anakanda, Yang Amat Mulia Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail. Kehadiran baginda bukan sahaja menyerikan majlis, malah mencerminkan keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan apabila berkenan meluangkan masa menyantuni anak-anak yatim yang hadir.

Seramai 10 penghuni perempuan dari Pertubuhan Kebajikan Rumah Anak Yatim Mak Teh diberi peluang menikmati pengalaman memilih sendiri pakaian, beg tangan dan tudung. Bagi mereka, saat itu bukan sekadar menerima pemberian, tetapi menjadi pengalaman yang mungkin tidak sering hadir dalam perjalanan hidup mereka. Di sebalik setiap helaian pakaian yang dipilih, terselit rasa dihargai, sementara pada setiap senyuman yang terukir, terpancar kegembiraan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

Pengiring rumah kebajikan tersebut, Siti Hadijah Saad, berkata peluang yang diberikan Bayu Somerset amat bermakna buat anak-anak jagaan mereka kerana bukan sahaja membawa kegembiraan, malah memberi pengalaman yang cukup berharga.

Beliau turut menjunjung kasih kepada Raja Puan Muda Perlis yang berkenan membelikan pakaian, beg dan tudung kepada anak-anak yatim serta merakamkan penghargaan kepada Bayu Somerset kerana sudi menjemput mereka berkongsi kemeriahan majlis itu.

Bagi Nur Syuhadawati Abdul Rahman, 16, hari tersebut menjadi antara detik paling manis pernah dilaluinya. Menurutnya, itulah kali pertama dia diraikan dalam majlis seperti itu dan diberi peluang memilih sendiri pakaian yang diminati.

Katanya, rekaan pakaian Bayu Somerset cukup menarik dengan gabungan warna-warna ceria yang sesuai dengan cita rasa golongan muda, selain fabrik yang selesa dipakai serta potongan yang memberikan keselesaan.

Sementara itu, Ketua Pemasaran Bayu Somerset, Dania Kamalul Ariffin berkata, penganjuran majlis tersebut bersempena sambutan lima tahun penubuhan Bayu Somerset yang kini terus berkembang dengan memiliki 18 cawangan di seluruh negara.

Menurut beliau, setiap perkembangan yang dicapai syarikat menjadi satu kesempatan untuk berkongsi kegembiraan bersama masyarakat. Bayu Somerset bukan sekadar mahu dikenali menerusi koleksi pakaian tradisional yang dihasilkan, malah berharap setiap langkah pertumbuhannya turut membawa nilai yang dapat dirasai oleh komuniti di sekeliling.

Beliau berkata, identiti Bayu Somerset terletak pada rekaan yang dilukis sendiri dengan sentuhan warna-warna ceria dan moden, sekali gus memberikan kelainan kepada pelanggan yang mencari pakaian tradisional dengan penampilan lebih segar.

Dalam masa sama, Bayu Somerset turut merancang memperluaskan rangkaian perniagaannya ke Johor, Melaka dan Sabah menjelang penghujung tahun ini sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuhkan jenama di pasaran tempatan.

Di sebalik perjalanan sebuah jenama menuju kejayaan, bukan setiap kisah diukur melalui angka atau bilangan cawangan yang dimiliki. Ada cerita yang lebih indah untuk dikenang, iaitu saat sebuah jenama memilih untuk berkongsi sinar kegembiraan dengan mereka yang memerlukan. Barangkali itulah hadiah paling bermakna, apabila senyuman yang lahir pada hari ini akan terus hidup sebagai kenangan yang menghangatkan hati pada hari-hari mendatang.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat