Peningkatan ekonomi Negeri Sembilan bukti keberkesanan pentadbiran Aminuddin – Tengku Zafrul

SEREMBAN – Prestasi ekonomi Negeri Sembilan yang mencatatkan peningkatan hasil kerajaan negeri, rizab kewangan serta pelaburan sejak 2018 menjadi bukti keberkesanan pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dalam mengurus pembangunan negeri.

Penasihat Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, pencapaian tersebut bukan sekadar angka di atas kertas, sebaliknya telah membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan.

Menurut beliau, walaupun rakyat masih berdepan tekanan kos sara hidup seperti yang turut dialami negara-negara lain, kerajaan negeri di bawah pimpinan Aminuddin terus memberi tumpuan kepada usaha membantu golongan yang paling terkesan di samping memperkukuh asas ekonomi negeri.

“Kalau kita lihat di Negeri Sembilan, kerajaan negeri di bawah pimpinan Tok Min… dan pada masa yang sama kita dapat lihat juga daripada segi perancangan ekonomi serta kewangan kerajaan negeri banyak menunjukkan penambahbaikan yang baik sejak pimpinan Tok Min bermula pada 2018,” katanya dalam wawancara khas Mandat Negeri Sembilan bersama Suara TV.

Beliau berkata, antara petunjuk utama yang menggambarkan kekuatan ekonomi negeri ialah peningkatan hasil kerajaan negeri, pertambahan rizab kewangan yang kini melebihi RM1 bilion serta nilai pelaburan yang mencecah RM19 bilion.

Katanya, pencapaian itu membuktikan Negeri Sembilan semakin diyakini pelabur dan berada pada landasan kukuh untuk menarik lebih banyak projek berimpak tinggi pada masa hadapan.

Menurut Tengku Zafrul, kemasukan pelaburan bukan sahaja meningkatkan kedudukan kewangan kerajaan negeri, malah memberi limpahan manfaat kepada syarikat tempatan melalui rantaian bekalan, selain mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.

Beliau berkata, pembangunan ekonomi yang mampan memerlukan keseimbangan antara menarik pelaburan baharu dengan memastikan manfaatnya dapat dirasai oleh masyarakat setempat.

Katanya, setiap pelaburan yang dibawa masuk perlu diterjemahkan kepada peluang pekerjaan berkualiti, pembangunan perusahaan tempatan serta peningkatan pendapatan isi rumah.

Mengulas mengenai cabaran kos sara hidup, Tengku Zafrul berkata tekanan tersebut bukan hanya berlaku di Malaysia, malah merupakan fenomena global yang dipengaruhi konflik geopolitik termasuk peperangan di Gaza serta Rusia-Ukraine, selain ketidaktentuan ekonomi dunia.

Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri perlu terus melaksanakan dasar yang mampu mengurangkan beban rakyat tanpa menjejaskan kedudukan fiskal negara dan negeri.

Beliau yakin asas ekonomi yang semakin kukuh di Negeri Sembilan akan membolehkan lebih banyak peluang pekerjaan, peningkatan pelaburan dan pertumbuhan sektor perniagaan diwujudkan sekali gus meningkatkan kesejahteraan rakyat pada masa hadapan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat