SEREMBAN – Dalam menghadapi PRN Negeri Sembilan, Pemuda Pas dan Pemuda Umno bersetuju untuk membentuk sebuah jawatankuasa bersama bagi menyelaras gerak kerja anak muda.
Ketua Penerangan Pemuda Pas Nadzir Helmi berkata, jawatankuasa ini akan memberi tumpuan kepada usaha menggerakkan pengundi muda untuk keluar menunaikan tanggungjawab mengundi serta memberikan sokongan kepada calon PN-BN.
Jelas Nadzir, kerjasama ini juga bukan bersifat sementara atau hanya tertumpu kepada PRN Negeri Sembilan.
Sebaliknya kata beliau, ia merupakan sebahagian daripada persediaan menghadapi siri pilihan raya yang akan datang sehingga Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
“Pemuda PAS berkongsi tekad untuk menyatukan kekuatan anak muda bagi menyekat PH-DAP daripada terus berkuasa serta memastikan sebuah pentadbiran yang lebih stabil, berprinsip dan mengutamakan kepentingan rakyat dapat dibentuk.
“Sebagai langkah awal, kedua-dua pihak akan bersama-sama menyertai siri jelajah di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), bermula Ahad ini.
“Jelajah tersebut akan menjadi medan untuk mendekati pengundi muda, menyampaikan hala tuju kerjasama PN-BN serta membangkitkan kesedaran tentang kepentingan keluar mengundi.
“Sebelum berakhirnya tempoh kempen PRN Negeri Sembilan, Pemuda Pas dan Pemuda Umno juga akan mengumumkan penganjuran sebuah pentas anak muda berskala besar yang menghimpunkan kekuatan serta suara generasi muda.
“Kerjasama ini menjadi bukti bahawa anak muda Pas dan Umno bersedia mengetepikan perbezaan lama, membina persefahaman baharu dan bergerak bersama demi masa depan politik negara yang lebih baik,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Dalam pada itu, Nadzir memaklumkan, pertemuan antara Pemuda Pas dan Pemuda Umno semalam menjadi satu lagi langkah penting dalam memperkukuh kerjasama politik anak muda, khususnya dalam menghadapi PRN Negeri Sembilan.
“Kerjasama bagi PRN Negeri Sembilan ini merupakan permulaan kepada gerak kerja yang lebih tersusun dan menyeluruh.
“Namun, persefahaman antara kedua-dua pihak sebenarnya telah mula dibina lebih awal, termasuk menerusi pertemuan dalam sebuah sesi podcast sekitar setahun yang lalu,” kongsi Nadzir lagi.



