KUALA LUMPUR – Bendahari UMNO Sabah, Salleh Said Keruak berpandangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan boleh menjadi medan penting untuk menguji sama ada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) mampu membentuk persefahaman pilihan raya tanpa perlu mewujudkan gabungan rasmi.
Menurut beliau, pendekatan tersebut bertujuan mengelakkan pertandingan sesama sendiri, mengurangkan perpecahan undi serta memberi laluan kepada parti yang mempunyai kekuatan lebih besar di sesuatu kawasan untuk bertanding.
Katanya, model kerjasama sedemikian memberikan fleksibiliti kepada kedua-dua gabungan kerana BN dan PN masih boleh mengekalkan identiti, kepimpinan serta dasar masing-masing, namun bekerjasama apabila kepentingan pilihan raya bertemu.
“Bagi BN, kerjasama dengan PN berpotensi menyatukan undi Melayu, khususnya di kawasan yang kedua-duanya bersaing mendapatkan kelompok pengundi yang sama,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Dalam masa sama, Salleh berkata kedudukan Pakatan Harapan (PH) mempunyai dinamik politik yang berbeza kerana kekuatannya, khususnya di kawasan bandar dan dalam kalangan pengundi bukan Melayu, banyak bergantung kepada DAP.
Menurut beliau, prestasi PH pada PRN Negeri Sembilan juga akan dipengaruhi oleh sejauh mana DAP mampu mempertahankan sokongan pengundi terasnya.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa cabaran sebenar bukan sekadar mencapai persefahaman di peringkat kepimpinan, sebaliknya memastikan berlakunya pemindahan undi dalam kalangan penyokong.
“Persetujuan antara pemimpin tidak semestinya bermakna penyokong akan turut mengikut keputusan tersebut. BN, PN dan PH mempunyai identiti, sejarah serta jangkaan penyokong yang berbeza,” katanya.
Sehubungan itu, Salleh berpandangan PRN Negeri Sembilan berpotensi menjadi medan menguji sama ada persefahaman politik yang bersifat pragmatik lebih berkesan berbanding pembentukan gabungan rasmi.
Beliau menegaskan, kejayaan strategi tersebut akhirnya bergantung kepada kemampuan parti-parti terbabit mengurangkan perpecahan undi tanpa menghakis keyakinan penyokong teras masing-masing.



