JELEBU – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengakui hubungannya dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berada dalam keadaan yang masih sangat baik.
Menjelaskan hubungan kedua-kedua Presiden parti itu Zahid berkata, beliau dan Anwar sangat profesional dalam urusan pentadbiran negara di Putrajaya.
“Saya tidak ada nampak sebarang permasalahan (dengan Anwar), pada hari Rabu lalu kami mengadakan mesyuarat Jemaah Menteri.
“Hubungan sangat-sangat cordial (mesra). Kami adalah merupakan kumpulan profesional yang dapat membezakan isu nasional dan isu negeri.
“Ini cuma masalah pilihan raya dan keutamaan kita adalah menangani dan menyantuni isu-isu nasional dan ini kita tangani dengan baik.
“Tidak ada sebarang perbezaan pandangan dalam pelaksanaan dasar dan isu yang mahu diselesaikan di peringkat nasional,” jelas Presiden Umno itu.
Zahid berkata demikian ketika ditemui media dalam program ramah mesra bersama masyarakat Orang Asli Negeri Sembilan di DUN Chennah, Jelebu pada Jumaat.
Dalam perkembangan sama, Zahid mengulangi pendirian dan ikrar bahawa Barisan Nasional (BN) akan menyokong Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar sehingga tamat penggal.



