SEREMBAN – Calon Bersatu N.04 Klawang Muhammad Adib Musa memaklumkan perkara pertama yang perlu dilakukan di Klawang sekiranya beliau dipilih sebagai Adun ialah menjalankan audit secara menyeluruh.
Menurut calon berusia 25 tahun itu, beliau akan melihat keadaan semasa daripada sudut pentadbiran, infrastruktur, keperluan belia serta sektor-sektor lain yang berkaitan.
“Apabila kita mempunyai audit dan data yang lengkap, kita dapat mengenal pasti dengan lebih tepat apakah cabaran sebenar yang sedang dihadapi.
“Dari situ, barulah penyelesaian dapat dirancang secara lebih tepat, tersusun dan berfokus.
“Saya tidak mahu kita hanya memberikan penyelesaian secara umum tanpa benar-benar memahami masalah di lapangan.
“Sebab itu pendekatan berasaskan data dan audit penting supaya setiap tindakan yang dibuat benar-benar menjawab keperluan masyarakat Klawang,” katanya dalam Wawancara Mandat @SuaraTV sempena Pilihan Raya Negeri Sembilan.
Berkongsi berkenaan latar belakangnya, Adib memberitahu beliau pernah berkhidmat sebagai pegawai perhubungan masyarakat dan juga pernah terlibat dalam industri pembinaan sebagai site officer.
Jelasnya, pengalaman tersebut banyak mengajar beliau tentang pengurusan, pemantauan projek dan penyelesaian masalah.
“Dalam industri pembinaan misalnya, kita perlu memastikan kontraktor mematuhi spesifikasi yang telah ditetapkan, memantau perjalanan projek serta menyelesaikan aduan yang timbul.
“Saya mahu mengaplikasikan pendekatan yang sama dalam tugas sebagai wakil rakyat. Apabila rakyat mempunyai masalah, kita perlu mempunyai sistem untuk menerima aduan, mengenal pasti puncanya dan memastikan tindakan susulan benar-benar dilaksanakan.
“Namun perkara yang paling penting bagi saya ialah ketelusan. Saya mahu rakyat mengetahui bagaimana sesuatu perbelanjaan dilakukan dan sejauh mana perkembangan projek-projek yang dilaksanakan di DUN Klawang.
“Jika rakyat memberikan mandat kepada saya, mereka berhak mengehtahui apa yang sedang dilakukan oleh wakil rakyat mereka. Itulah antara kekuatan dan pendekatan yang saya mahu bawa ke DUN Klawang,” katanya.



