Megat Shariman pilih Bersatu sebab pertahan prinsip meski berdepan cabaran, mahu OKU terima layanan adil

SEREMBAN – Presiden Majlis Paralimpik Malaysia Datuk Seri Megat Shariman Zaharuddin yang kini sedang berjuang sebagai calon Bersatu bagi DUN N16 Seri Menanti mengakui memilih Bersatu sebagai wadah perjuangan politiknya kerana parti itu tetap mempertahankan prinsip walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran politik.

Megat Shariman memberitahu bahawa beliau menghormati pendirian Bersatu yang sanggup mempertahankan prinsip tersebut walaupun berdepan tekanan.

“Saya melihat Bersatu sebagai sebuah parti yang tetap mempertahankan prinsip walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran politik. Itu juga merupakan pegangan hidup saya.

“Saya tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan sesiapa, tetapi apabila sesuatu prinsip diketepikan atau dilanggar, saya tidak mampu menerimanya. Pada saya, seseorang pemimpin mesti mempunyai prinsip yang jelas.

“Kita boleh berbeza pendapat, berbincang dan mencari jalan penyelesaian, tetapi semuanya perlu dilakukan dengan berlandaskan prinsip serta melalui saluran yang betul.

“Saya menghormati pendirian Bersaitu yang sanggup mempertahankan prinsip tersebut walaupun berdepan tekanan. Sebab itu saya memilih untuk bersama parti ini dan berharap dapat terus menyumbang berdasarkan nilai yang saya pegang selama ini,” katanya dalam Wawancara Mandat @SuaraTV sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Ditanya adakah beliau pernah mempertimbangkan untuk menyertai parti politik lain atau bertanding sebagai calon bebas sebelum membuat keputusan menyertai Bersatu, Megat Shariman berkata beliau sejujurnya saya tidak pernah benar-benar merancang untuk menyertai parti lain.

“Saya ada meneliti beberapa parti dan melihat pendekatan yang mereka bawa, namun akhirnya saya membuat keputusan berdasarkan prinsip yang saya pegang.

“Saya percaya sistem pilihan raya telah menyediakan garis panduan yang baik untuk memastikan demokrasi berjalan secara bersih dan telus.

“Malangnya masih ada budaya politik yang menggunakan wang atau imbuhan bagi mempengaruhi sokongan rakyat. Bagi saya, amalan seperti itu perlu dihentikan.

“Jika rakyat mahu memilih saya, biarlah kerana mereka percaya kepada kemampuan saya untuk bekerja, bukannya kerana wang atau ganjaran. Perubahan hanya akan berlaku apabila rakyat sendiri membuat pilihan berdasarkan integriti dan keupayaan seseorang calon.

“Saya berharap budaya politik yang lebih matang dapat berkembang supaya generasi muda dapat melihat politik sebagai medan berkhidmat kepada rakyat, bukannya tempat mengejar kepentingan peribadi,” jelas beliau.

Memperincikan perjuangan beliau, Megat Shariman memaklumkan, sejak tahun 2019 beliau telah berusaha membawa pelbagai isu berkaitan komuniti orang kurang upaya (OKU) kepada kerajaan.

“Apa yang saya perjuangkan bukan untuk kepentingan diri sendiri atau soal peruntukan kepada saya, sebaliknya untuk memastikan suara golongan OKU benar-benar didengari.

“Saya telah bertemu dengan beberapa Perdana Menteri dan menteri, namun masih banyak perkara yang belum dapat diselesaikan. Saya melihat komuniti OKU sering dipandang rendah, sedangkan mereka juga mempunyai hak yang sama sebagai rakyat Malaysia.

“Atas sebab itu saya merasakan sudah tiba masanya saya sendiri berada di dalam sistem supaya dapat membawa suara mereka secara lebih berkesan.

“Saya bukan seorang yang mencari kedudukan atau bergantung kepada politik untuk mencari rezeki.

“Apa yang saya mahukan hanyalah peluang untuk memastikan bantuan dan dasar diberikan berdasarkan kelayakan serta merit, bukannya kerana hubungan atau kepentingan tertentu.

“Bagi saya, jika seseorang benar-benar layak, maka mereka sepatutnya menerima hak mereka tanpa mengira latar belakang politik atau faktor lain. Perjuangan ini bukan mengenai parti, tetapi mengenai kemanusiaan dan hak setiap rakyat untuk mendapat layanan yang adil,” ujar Megat Shariman.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat