SEREMBAN – Pakatan Harapan (PH) akui kerjasama politik antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) secara terbuka dalam perebutan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan memberi ancaman kepada undi Melayu terhadap PH.
Pengarah Komunikasi Amanah Khalid mengakui naratif perpaduan ummah yang dibawa BN dan PN terbukti berkesan ‘mencuri’ undi Melayu daripada PH dalam PRN Johor baru-baru ini.
“Sememangnya naratif yang dibawa terbukti berkesan di Johor. Hal ini terjadi apabila undi orang Melayu terutama Pas disatukan dengan BN sehingga mereka menang di Johor.
“Pakatan BN dan PN ini bukan sekadar ancaman kepada undi orang Melayu terhadap PH semata-mata namun ia lebih kepada ancaman kepada pembangunan negara bangsa yang bersatu padu.
“Naratif penyatuan ummah BN-PN itu seolah-olah memperkotak-katik rakyat apabila memainkan isu kaum, bangsa dan ia melaga-lagakan rakyat.
“Kalau Melayu bersatu padu lawan bukan Melayu maka ini menyebabkan pecah belah.
“Perpaduan bagus tapi bukan dengan melaga-lagakan, sepatutnya kita bersatu atas asas yang mantap dan membawa kebaikan.
“Kita tidak mahu Melayu, India dan Cina berpecah,” katanya ketika sidang media Pakatan Harapan (PH) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada Khamis.
Mengulas lanjut, Khalid berkata strategi BN-PH di Johor dijalankan secara sulit namun di Negeri Sembilan ia diumumkan secara terbuka dengan naratif semakin jelas.
“Di Johor (berpakat) secara sulit. Namun di Negeri Sembilan kerjasama BN-PN semakin jelas.
“Justeru PH yakin, kita boleh hadapi lebih tepat ancaman ini.
“Kita akan sedarkan rakyat untuk melihat kepada prestasi dan pencapaian cemerlang kerajaan negeri Negeri Sembilan,” tegas Khalid.
Sementara itu, Menteri Komunikasi merangkap Pengarah Komunikasi PH Datuk Seri Fahmi Fadzil menempelak jajaran politik BN-PH yang kononnya memperjuangkan agenda Melayu Islam seolah-olah hanya satu kelompok sahaja boleh memonopoli Melayu dan Islam.
“Ada beberapa pimpinan membuat kenyataan konon hanya satu kelompok saja boleh memonopoli Melayu Islam.
“Adakah Khalid Samad dan saya bukan Melayu Islam?
“Bibit-bibit yang dimainkan BN-PN tidak begitu baik,” kata Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu lagi.
Fahmi berkata, PH memandang serius dan akan berusaha keras memahamkan pengundi bahawa PH tidak pernah sesekali meminggirkan Melayu Islam.
“Era pemerintahan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun pembinaan masjid di Negeri Sembilan lebih banyak berbanding pemerintahan sebelum itu. Begitu juga dengan jumlah kutipan zakat sewaktu pentadbiran Tok Min dua kali ganda lebih banyak.
“Jadi Melayu Islam di Negeri Sembilan sokonglah Tok Min,” seru Fahmi.



