Bersatu tidak akan sekat peruntukan kepada Adun pembangkang jika jadi kerajaan negeri – Hanifah

SEREMBAN – Bersatu bertekad untuk tidak akan meneruskan amalan lapuk Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan sebelum ini ini yang menyekat peruntukan kepada Adun pembangkang.

Bekas Ketua Pembangkang DUN Negeri Sembilan merangkap penyandang DUN Labu Hanifah Abu Baker menegaskan, berdasarkan pengalamannya amalan sekatan peruntukan kepada Adun lawan tidak wajar diteruskan memandanfkan semua Adun mewakili rakyat di kawasan masing-masing.

“Cabaran paling besar sebagai wakil rakyat pembangkang sudah tentu ialah kekangan dari segi peruntukan kewangan dan kerjasama daripada agensi kerajaan.

“Sejak awal lagi selepas kerajaan negeri dibentuk, telah dinyatakan bahawa Adun pembangkang tidak akan menerima peruntukan seperti Adun kerajaan. Bagi saya, keadaan itu amat mengecewakan kerana rakyat tetap perlu dibela tanpa mengira kawasan yang mereka undi.

“Sekiranya suatu hari nanti Bersatu diberi peluang menjadi kerajaan, saya berharap amalan seperti ini tidak akan diteruskan.

“Semua Ahli Dewan Undangan Negeri wajar menerima layanan yang adil kerana mereka mewakili rakyat di kawasan masing-masing.

“Selain isu peruntukan, saya juga pernah membangkitkan satu perkara yang pada saya sangat tidak wajar, iaitu tandatangan saya sebagai Adun Labu tidak diterima bagi permohonan tertentu di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Saya hanya mengetahui perkara itu selepas hampir dua tahun menjadi wakil rakyat. Bayangkan sekiranya seorang penduduk datang mendapatkan sokongan daripada saya untuk sesuatu permohonan bantuan.

“Saya menandatangani borang tersebut dengan harapan permohonan mereka diproses, namun akhirnya ditolak hanya kerana saya merupakan Adun pembangkang,” katanya ketika Wawancara Mandat @SuaraTV sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Menurut Hanifah, perkara seperti ini amat merugikan rakyat kerana mereka tidak dimaklumkan lebih awal dan akhirnya permohonan bantuan gagal diproses atas sebab yang tidak sepatutnya berlaku.

“Sebab itu saya membawa perkara tersebut ke Dewan Undangan Negeri supaya kerajaan menjelaskan pendirian mereka secara terbuka.

“Walaupun tidak menerima peruntukan kerajaan, saya tidak pernah menjadikan perkara itu sebagai alasan untuk tidak membantu rakyat.

“Saya menyediakan pelan sendiri dengan menggunakan hasil beberapa perniagaan yang saya usahakan bagi membolehkan bantuan kepada penduduk Labu diteruskan.

“Sekiranya diberikan mandat sekali lagi, sama ada sebagai pembangkang mahupun kerajaan, saya percaya pengalaman yang diperoleh sepanjang 2 tahun lalu akan membolehkan saya berkhidmat dengan lebih baik dan lebih berkesan kepada rakyat Labu,” ikrar beliau.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat