Jika DUN Negeri Sembilan tergantung, Bersatu akan pilih untuk tidak mengorbankan prinsip perjuangan – Tun Faisal

SEREMBAN – Sekiranya keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan menghasilkan Dewan Undangan Negeri (DUN) tergantung dan tiada mana-mana gabungan memperoleh majoriti mudah, Bersatu menganggap perkara itu masih terlalu awal untuk parti itu memutuskan sebarang pakatan.

Ketua Penerangan Bersatu Datuk Tun Faisal Ismail Aziz bagaimanapun menjelaskan, keutamaan Bersatu ketika ini ialah mendapatkan mandat rakyat sebanyak mungkin.

Calon Bersatu DUN Sikamat itu berkata, sekiranya situasi tersebut benar-benar berlaku selepas pilihan raya, keputusan hanya akan dibuat berdasarkan kedudukan sebenar ketika itu.

“Saya berpandangan Bersatu perlu terlebih dahulu memperkenalkan identiti serta tawaran yang dibawa kepada rakyat. Sebelum ini, banyak usaha dan dasar kami dilaksanakan di bawah logo Perikatan Nasional (PN).

“Kini rakyat perlu memahami sendiri apa yang diperjuangkan oleh Bersatu dan apakah tawaran yang kami kemukakan kepada Negeri Sembilan. Daripada sudut strategi pilihan raya, kami melihat masih terdapat peluang yang baik berdasarkan keputusan pilihan raya terdahulu. Pada PRN yang lalu, PN memenangi 5 kerusi, manakala terdapat kira-kira 10 lagi kerusi yang dimenangi dengan majoriti yang kecil. Kerusi-kerusi tersebut memberikan keyakinan bahawa Bersatu masih mempunyai peluang untuk meningkatkan sokongan rakyat.

“Sudah tentu landskap politik kali ini berbeza kerana Bersatu bertanding menggunakan logo sendiri. Oleh itu, kami perlu bekerja lebih keras bagi meyakinkan rakyat bahawa Bersatu mampu menjadi alternatif yang lebih baik berbanding gabungan-gabungan lain.

“Berhubung kemungkinan berlakunya DUN tergantung, saya berpandangan perkara itu masih terlalu awal untuk diputuskan. Keutamaan kami ketika ini ialah mendapatkan mandat rakyat sebanyak mungkin.

“Sekiranya situasi tersebut benar-benar berlaku selepas pilihan raya, keputusan hanya akan dibuat berdasarkan kedudukan sebenar ketika itu.

“Apa yang pasti, sebarang keputusan yang diambil nanti tidak akan mengorbankan prinsip perjuangan Bersatu,” tegasnya ketika Wawancara Mandat @SuaraTV sempena PRN Negeri Sembilan.

Pada masa yang sama Tun Faisal memberitahu, sebarang kerjasama mestilah memberi manfaat terbaik kepada rakyat Negeri Sembilan serta membolehkan sebuah kerajaan yang efektif, cekap dan memberi tumpuan kepada pembangunan negeri dibentuk.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat