KUALA LUMPUR – Negara China dan Amerika Syarikat adalah 2 negara yang sedang mendahului dalam langkah penyelidikan ke arah komputer menggunakan teknologi kuantum iaitu sebuah komputer kuasa tinggi yang amat berbeza dengan komputer yang ada sekarang.
Profesor Jabatan Fizik, Fakulti Sains Universiti Malaya Prof. Dr Raymond Ooi berkata kebanyakan negara di dunia sekarang ini sedang dalam perlumbaan melakukan penyelidikan untuk mencipta teknologi komputer kuantum melalui pelbagai kaedah.
Malaysia pada masa ini sudah menjalankan pelbagai penyelidikan teknologi kuantum antaranya di Universiti Malaya yang menjalankan penyelidikan berkaitan sains kuantum dan laser, katanya.
“Penyelidikan itu bermula pada tahun 2011, pada tahun 2020 kami mendapat sokongan kerajaan melalui geran yang berjumlah besar daripada Kementerian Pendidikan Tinggi untuk membangunkan komunikasi menggunakan teknologi kuantum.
“Kita telah menjalankan penyelidikan secara teori dan eksperimen dalam komunikasi dengan teknologi kuantum,” katanya ketika ditemui media ketika International Regulatory Conference 2026 di sini, hari ini.
Dalam konteks Malaysia, negara ini perlu mengekalkan momentum penyelidikan dengan pembiayaan dana berterusan untuk membangunkan teknologi komputer kuantum.
Merujuk kepada negara China dan Amerika, kedua-dua negara berkenaan menggunakan strategi berkaitan inovasi yang sangat agresif.
“Di Amerika, syarikat seperti IBM dan Google memiliki sasaran penyelidikan yang besar untuk membangunkan kuantum komputer,” katanya.
Dr Raymond berkata ada juga beberapa syarikat di Eropah dan United Kingdom sedang dalam usaha untuk membangunkan teknologi kuantum.
“Kejayaan membangunkan teknologi kuantum bukanlah satu cita-cita yang kecil sebaliknya ia adalah satu cita-cita besar untuk jangka masa panjang,” katanya.
Jika kuantum komputer menjadi kenyataan satu hari nanti, beliau berkata dunia akan kembali kepada zaman awal penciptaan komputer yang mana komputer paling berkuasa memerlukan ruang yang cukup luas untuk meletakkan ruang memproses data.
“Untuk kuantum komputer, sistem penyejukan sistem sahaja memerlukan kuasa yang besar serta ruang yang luas untuk beroperasi, jadi sistem komputer ia sendiri pun mungkin memerlukan kawasan yang luas,” katanya.
Komputer kuantum adalah teknologi komputer canggih yang memanfaatkan prinsip fizik kuantum untuk memproses maklumat yang terlalu rumit bagi komputer biasa.
Berbeza dengan komputer klasik, telefon pintar dan komputer riba yang menggunakan bit (0 atau 1), komputer kuantum menggunakan qubit (quantum bit) yang boleh wujud sebagai 0, 1, atau kedua-duanya serentak.
Menurut Dr Raymond, ada masalah sains dan perubatan yang mungkin memerlukan masa yang amat lama untuk diselesaikan memakan masa hanya sekejap sahaja untuk dilengkapkan.



