SEREMBAN – Datuk Seri Mahdzir Khalid mendakwa, DAP seolah-olah melayan Umno sebagai ‘menumpang’ dalam Kerajaan Perpaduan sedangkan bersama-sama membentuk Kerajaan Persekutuan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Berkongsi perkara itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah itu mendakwa, DAP beranggapan mereka (Pakatan Harapan) memerintah dan Umno pula menumpang.
“Dulu-dulu kita duduk dalam kerajaan, MCA dan MIC pun tak setuju sesetengah perkara apa yang Umno buat, tapi mereka datang, mereka minta kita buat perubahan sedikit tak nak bagi kaum lain nampak (some modifacation) cantiklah. Jadi pemimpin Umno buatlah (perubahan) supaya tak nampak sangat benda nak dibuat itu.
“Tapi yang ni (DAP) kamu tak nampak dia nak buat macam tu (bincang), dia kira macam kami yang memerintah, kamu tumpang kami.
“Padahal Kerajaan Perpaduan itu sama-sama.
“Kalau dah jadi macam tu lebih baik kita begini (bersama PN),” katanya ketika ditemui SuaraTV di Seremban pada Selasa.
Ditanya bagaimana bibit berputik kembali hubungan BN dan PN, Mahdzir berkata ia lebih kepada survival Melayu.
“Kalau kata cakap pasal politik ni kalau saya kita fikirkan tentang survival Melayu, kita tak boleh cakap sebagai orang liberal.
“Bohonglah liberal dalam politik ini, kalau tidak cakap soal bangsa kamu sendiri
“Itu saya akui, saya berterus terang. Contohnya Donald Trump dilihat sebagai seorang tak konsisten tentang polisi di Amerika Syarikat (AS) tapi dia bercakap pasal bangsa dia white supremacy. I cared about white, itu dia cakap tentang bangsa dia.
“Kita bercakap soal bangsa. Maknanya bila datang kepada politik, mesti utamakan bangsa sendiri.
“Bagi saya DAP melampau, namun saya tidak mahu ulas perkara itu,” ujarnya.



