SEREMBAN – Calon Bersatu DUN Labu Mohamad Hanifah Abu Baker menegaskan Bersatu tidak akan angkat kaki meninggalkan Perikatan Nasional (PN) yang diasaskan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dan adalah sebaiknya Pas yang keluar membentuk jajaran politik lain.
Kata Hanifah, Pas adalah pengkhianat yang sebenarnya apabila berpakat dengan Barisan Nasional (BN) dalam kompoisi pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sekali gus meminggirkan Bersatu sehingga terpaksa bertanding menggunakan logo sendiri bukannya bersama di bawah payung PN.
“Pas adalah pengkhianat kepada PN walaupun mereka sering mengatakan Bersatu (khianat).
“Bila 25 kerusi diumum oleh BN jelas ada 11 kerusi mereka tak ambil, sebab itulah Bersatu umum guna logo sendiri, jelas tidak ada soal khianat.
“Bersatu parti politik. Parti politik ditubuhkan untuk masuk pilihan raya, ada pengkhianatan kepada Bersatu bila kami parti komponen PN tidak dijemput untuk perbincangan kerusi, sebab itu saya katakan yang khianat bukan Bersatu sebaliknya yang khianat adalah Pas,” katanya ketika ditemui SuaraTV, semalam.
Ditanya sama ada masih ada peluang untuk Bersatu dan Pas bertaut semula, Hanifah menyatakan perkara itu mungkin tidak akan berlaku apabila menilai sikap pimpinan-pimpinan Pas yang sering menyalahkan pihak lain.
“Pandangan peribadi saya, siapa yang pernah bekerjasama dengan Pas tentunya mereka akan tahu.
“Mungkin kalau tanya saya tak mahu, bukan trauma tapi kalau Pas ini, yang salah semua orang lain yang betul semua dia , bagi saya tak payahlah (berbaik),” ujar Ketua Bersatu Negeri Sembilan itu lagi.
Hanifah sekali lagi menegaskan bahawa Bersatu tidak akan keluar PN.
“Bersatu tidak akan keluar PN, Bersatu diasaskan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, walau macam mana pun pihak Pas nak nafikan rakyat tahu Bersatu adalah PN dan Muhyiddin adalah PN. Dan tak ada mana-mana parti pun berhak untuk menggugurkan Bersatu sebagai salah satu parti komponen.
“Beberapa pimpinan termasuk juga Tan Sri Annuar Musa mengatakan disebabkan Bersatu bertanding 24 kerusi dan bertembung dengan kawasan PN maka Bersatu boleh dikenakan tindakan disiplin mengikut Perlembagaan PN.
“Bagi saya Annuar Musa Mungkin tua dah boleh berhenti, benda simple itu pun dia taktau, bila dia gagal memanggil Bersatu dalam mesyuarat PN itu pun sudah satu kesalahan.
“Lepas pilihan raya ini kalau dia nak berperang biarlah dia berperang.
“Jadi, saya katakan Bersatu tidak akan keluar. Kalau nak keluar. Jadi sebaiknya kalau mereka nak keluar, mereka keluarlah tak payah nak tumpang populariti PN,” tempelak beliau.



