SEREMBAN – Kita tidak mahu lagi kembali ke zaman lalu di mana seorang Perdana Menteri mempunyai kuasa mutlak dan melakukan apa sahaja sesuka hatinya.
Justeru, Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong menegaskan, Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang memperkukuh tatakelola negara bagi memastikan salah guna kuasa serta kelemahan pengurusan kewangan seperti yang berlaku sebelum ini tidak berulang.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, antara usaha penting yang dilaksanakan Kerajaan Persekutuan ketika ini adalah memperkemas sistem tatakelola termasuk melalui dasar dan undang-undang berkaitan pengurusan kewangan negara.
Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan kuasa kerajaan, termasuk berkaitan pinjaman dan pengurusan kewangan negara, tertakluk kepada kawalan serta proses semak dan imbang yang lebih ketat.
“Salah satu usaha yang paling penting ialah membentuk tatakelola. Kita memastikan perkara seperti ini tidak akan berulang lagi.
“Bagaimana jika ada seorang Perdana Menteri yang mempunyai kuasa mutlak dan boleh melakukan apa sahaja yang dia suka? Kita tidak mahu kembali ke zaman lalu,” katanya ketika berucap di ceramah kelompok Pakatan Harapan (PH) malam tadi.
Dalam pada itu, Chin Tong berkata, Kementerian Kewangan (MOF) dan seluruh kerajaan kini memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh tatakelola bagi memastikan pengalaman buruk yang pernah berlaku tidak berulang pada masa hadapan.
Jelas beliau, beberapa dasar dan undang-undang yang diperkenalkan turut bertujuan memastikan pengurusan kewangan negara dilaksanakan secara lebih bertanggungjawab demi kepentingan generasi akan datang.
“Di Kementerian Kewangan dan di seluruh kerajaan, salah satu tugas paling penting kita ialah membentuk tatakelola dan memastikan tidak mengulangi apa yang telah berlaku.
“Kita mahu memastikan wang negara yang disimpan untuk generasi akan datang diurus dengan lebih ketat dan tidak disalahgunakan untuk kepentingan individu,” ujar Pengarah Strategik Kebangsaan DAP itu.
Beliau berkata, kerajaan turut memperkukuh kawalan terhadap jumlah pinjaman yang boleh dibuat serta memastikan keputusan tertentu perlu melalui proses semak dan imbang di Parlimen.
Kata Chin Tong lagi, semua usaha itu merupakan sebahagian daripada agenda untuk memastikan Malaysia bergerak ke arah pentadbiran yang lebih baik dan tidak kembali kepada kelemahan pengurusan pada masa lalu.
Sementara itu, Chin Tong menyeru rakyat memberikan sokongan kepada kerajaan pimpinan Anwar bagi meneruskan agenda reformasi tatakelola dan memastikan masa depan negara lebih terjamin.
“Saya harap rakyat boleh memberikan sokongan kepada kerajaan yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana hasrat yang mulia ini kita usahakan bersungguh-sungguh untuk menjamin masa depan negara kita,” katanya.
Beliau turut menegaskan kerajaan perlu memastikan kebajikan serta keperluan asas rakyat terus dilindungi, khususnya ketika negara berdepan ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik.
Ujar Chin Tong lagi, kerajaan perlu memastikan bekalan minyak dan keperluan asas rakyat sentiasa mencukupi supaya kehidupan rakyat tidak terjejas ketika berlaku krisis.



