SEREMBAN – Umno Negeri Sembilan didakwa telah bertindak khianat apabila menarik sokongan daripada Kerajaan Negeri tanpa rundingan dan perbincangan dalam kerangka Kerajaan Perpaduan.
Pengarah Pilihan Raya PKR Datuk Seri Amirudin Shari ketika ditanya adakah Umno pengkhianat, beliau mengakui tindakan dan perbuatan Umno adalah tidak manis.
“Kepada satu gabungan Perpaduan ini sangat tidak manis apabila mengambil keputusan untuk bersekongkol mereka yang dianggap di luar kerangka parti.
“Kalau pengkhianatan dalam konteks Negeri Sembilan pasti. Sebab mereka menarik sokongan tanpa melalui rundingan dan perbincangan yang sebaiknya.
“Tapi di peringkat nasional saya harap ada kematangan politik yang boleh menjamin kestabilan kerajaan sampai ke akhir penggal,” kata Menteri Besar Selangor itu ketika ditemui SuaraTV pada Isnin.
Dalam pada itu, Amirudin yang juga Naib Presiden PKR mengingatkan supaya parti-parti politik berpada pada ketika melakukan serangan.
Hal ini kata beliau, pimpinan politik perlu menyedari realiti politik bahawa adanya kemungkinan parti akan bergabung selepas pilihan raya bagi membentuk kerajaan.
“Suhu serangan perlu berpada-pada, sedarlah realiti politik kena bergabung selepas pilihan raya.
“Realiti politik ialah bagaimana gabungan dibentuk selepas pilihan raya.
“Saya melihat mungkin cabaran yang baru bagaimana kasarnya Barisan Nasional (BN) menyerang Datuk Seri Hajiji Noor akhirnya mereka akur membentuk gabungan bersama GRS di Sabah.
“Cuma perlu apabila sedar tentang adanya penggabungan yang boleh dibuat pada masa depan, justeru apa yang boleh dibuat ialah suhu serangan berpada-pada jangan menuju kepada serangan peribadi, kalau soal polisi, menawarkan apa yang lebih baik, okey.
“Itulah realiti politik baru,” katanya.



