DBKL digesa perkukuh sistem pemeriksaan pokok, dedah laporan siasatan tragedi Jalan Tun Razak

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) digesa menyemak semula dan memperkukuh sistem pemeriksaan serta penilaian risiko pokok susulan insiden pokok tumbang di Jalan Tun Razak yang mengorbankan seorang lelaki pada 18 Julai lalu.

Bendahari DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, **Ben Fong Kok Seng**, berkata orang ramai perlu diyakinkan bahawa sistem pemeriksaan dan penilaian risiko pokok sedia ada benar-benar berkesan dalam mencegah tragedi seumpama itu daripada berulang.

Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta menghargai tindakan pantas DBKL menguruskan lokasi kejadian dan memulakan siasatan teknikal.

Bagaimanapun, katanya, siasatan tersebut tidak seharusnya sekadar mengenal pasti punca kejadian, sebaliknya perlu menilai sama ada prosedur pemeriksaan, kaedah penilaian risiko dan tindakan susulan yang diamalkan ketika ini benar-benar mencukupi.

“Menurut kenyataan DBKL, pokok berkenaan kali terakhir diperiksa pada Mei 2025, kira-kira 14 bulan sebelum kejadian. Tanpa membuat sebarang kesimpulan awal, keadaan ini menimbulkan persoalan sama ada proses penilaian risiko dan pemeriksaan sedia ada mampu mengesan risiko lebih awal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menggesa DBKL memberikan penjelasan lebih terperinci mengenai rancangan memasang 400 pengesan pokok selepas mendapat kelulusan SIRIM.

Menurutnya, DBKL perlu menjelaskan sama ada jumlah tersebut mencukupi untuk meliputi kawasan berisiko tinggi, selain mengumumkan jadual pelaksanaan, tarikh siap pemasangan serta kriteria pemilihan lokasi.

Ben berkata insiden di Jalan Tun Razak bukanlah kejadian terpencil kerana pada 7 Mei 2024 seorang lelaki turut maut selepas dihempap pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail yang turut menghempap 17 kenderaan.

Enam hari kemudian, katanya, satu lagi kejadian pokok tumbang di Jalan Pinang merosakkan kenderaan pengiring dan hampir menghempap kenderaan yang dinaiki Ketua Menteri Melaka.

Beliau turut merujuk kenyataan kerajaan di Dewan Rakyat yang memaklumkan sebanyak 14 kemalangan akibat pokok tumbang direkodkan di Kuala Lumpur sepanjang tempoh 2017 hingga 2024, melibatkan lima kematian dan sembilan kecederaan.

“Jika kejadian seperti ini terus berulang, ia bukan sahaja menjejaskan keyakinan orang ramai, malah imej Kuala Lumpur sebagai ibu negara yang selamat dan terurus,” katanya.

Mengulas pengalaman menerima aduan penduduk, Ben berkata permohonan untuk memangkas pokok kadangkala mengambil masa antara dua hingga tiga bulan sebelum tindakan diambil.

Beliau berpandangan kelewatan itu mungkin berpunca daripada kekangan sumber atau beban kerja, namun aduan membabitkan pokok yang berpotensi mengancam keselamatan awam perlu diberi keutamaan berdasarkan tahap risiko.

Sehubungan itu, beliau menggesa DBKL menyiarkan laporan penuh siasatan insiden Jalan Tun Razak kepada orang ramai, termasuk penemuan utama, kelemahan yang dikenal pasti, langkah pembetulan dan garis masa pelaksanaannya.

Katanya, ketelusan penting bagi memulihkan keyakinan masyarakat terhadap pengurusan keselamatan pokok di ibu negara.

“Kuala Lumpur mesti kekal sebagai sebuah bandar yang hijau tanpa mengorbankan aspek keselamatan. Kedua-dua matlamat ini bukan sahaja boleh dicapai, malah wajib bergerak seiring,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat