Oleh Zihan Zari
BALIK PULAU – Politeknik Ungku Omar (PUO) terus mengukuhkan reputasinya sebagai institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) unggul apabila dinobatkan sebagai juara keseluruhan kategori Politeknik dalam pertandingan POLYCC CyberWarrior II 2026, sekali gus menjulang dan membawa pulang Piala Pusingan pertandingan ini.
Majlis Perasmian Penutup POLYCC CyberWarrior II 2026 telah disempurnakan oleh Pengarah Kanan (Akademik), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr. Mohd Daud Isa di Politeknik Balik Pulau (PBU), dekat sini baru-baru ini.
Turut hadir, Pengarah Bahagian Kurikulum JPPKK, Hilmun Mohamed; Ketua Seksyen Teknologi, Bahagian Kurikulum JPPKK, Ts. Dr. Raudyah Md.Tap; Timbalan Pengarah, Unit Pembangunan Pelajar JPPKK, Ts. Suhairi Ismail; dan barisan Pengarah Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC).
Kejayaan membanggakan ini membuktikan kecemerlangan pelajar PUO dalam bidang teknologi digital, pengaturcaraan, rangkaian komputer serta keselamatan siber yang semakin menjadi keperluan utama dalam era transformasi digital negara.
PUO berjaya mengungguli beberapa kategori pertandingan dengan pencapaian cemerlang iaitu johan Code Rumble, naib johan Networking of The Hill, naib johan Hackathon Digitech Nusa, tempat ketiga Hackathon Digitech Nusa dan tempat ketiga Capture the Flag.
Kejayaan ini menyumbang kepada pengumpulan mata keseluruhan tertinggi yang melayakkan PUO dinobatkan sebagai juara kategori politeknik.
Dalam perkembangan sama, Pengarah PUO, Dr. Hjh. Salmi Che Meh menyatakan rasa bangga atas pencapaian luar biasa yang dipamerkan oleh para pelajar dan pensyarah pembimbing.
Menurut beliau, kejayaan ini merupakan hasil komitmen berterusan warga PUO dalam memperkukuh budaya inovasi, pemikiran kritis dan penguasaan teknologi digital selaras dengan aspirasi TVET negara.
“Pencapaian ini membuktikan bahawa pelajar PUO bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mampu bersaing pada platform berprestij dalam bidang teknologi dan keselamatan siber,”katanya.
“Saya berharap kejayaan ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak pencapaian gemilang pada masa hadapan,” katanya lagi ketika hadir meraikan kejayaan tersebut.
POLYCC CyberWarrior II 2026 menghimpunkan penyertaan daripada POLYCC seluruh negara dalam pelbagai cabaran berasaskan teknologi, inovasi digital dan keselamatan siber.
Platform ini berfungsi sebagai medan pembangunan bakat bagi melahirkan graduan TVET yang kompeten, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0.
Kejayaan sebagai juara keseluruhan ini sekali lagi membuktikan keupayaan PUO dalam melahirkan modal insan berkualiti tinggi yang mampu menjadi peneraju dalam bidang teknologi digital dan keselamatan siber, selaras dengan agenda memperkasakan TVET sebagai pemacu pembangunan negara.
POLYCC CyberWarrior telah menjadi platform berharga buat para pelajar bagi mengasah kemahiran teknikal, menyerlahkan kreativiti, serta memperkukuh keupayaan penyelesaian masalah dunia sebenar dalam bidang teknologi digital dan keselamatan siber.
Edisi kali ini berjaya menghimpunkan 15 Politeknik dan 30 Kolej Komuniti dari seluruh negara, bersaing dalam enam kategori utama iaitu Code Rumble, Capture the Flag (CTF), Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), Sustainable Apps Warrior (SAW), Network King of the Hill (NKOTH), dan Hackathon DigiTech Nusa.
Pertandingan CyberWarrior III 2027 bakal dihoskan oleh Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS), Sungai Lang, Selangor.-SUARA.TV



