Kerajaan setuju wujudkan pampasan kepada keluarga mangsa kemalangan maut angkara pemandu mabuk – Anthony Loke

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju secara dasar untuk mewujudkan mekanisme pampasan kepada mangsa kemalangan jalan raya yang maut angkara pemandu di bawah pengaruh alkohol, dadah, memandu secara melulu dan sebagainya.

Perkembangan terbaharu itu sekali gus memastikan pesalah jalan raya bukan sahaja dikenakan hukuman mengikut tatacara jenayah, malah turut bertanggungjawab terhadap kerugian yang dialami mangsa dan waris.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, cadangan mewujudkan mekanisme itu telah pun dipersetujui Jemaah Menteri dan pindaan akan dibuat menerusi Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

Beliau berkata, ketika ini pesalah yang disabitkan kesalahan hanya berdepan hukuman seperti penjara, denda atau hilang kelayakan memandu tanpa sebarang mekanisme pampasan kepada mangsa atau waris mangsa.

“Apa yang kita mahu wujudkan ialah satu mekanisme baharu dalam perundangan negara di mana mahkamah juga boleh menganugerahkan pampasan kepada keluarga mangsa sekiranya pesalah didapati bersalah.

“Ini termasuk kes melibatkan pemandu di bawah pengaruh alkohol, dadah, memandu secara melulu dan sebagainya. Semua itu akan dirangkumi dalam cadangan yang sedang diperincikan kelak,” katanya pada sidang akhbar lapor Kosmo! di Putrajaya pada Jumaat.

Katanya, memandangkan pindaan itu bakal memberi kesan jangka panjang terhadap sistem perundangan dan keselamatan jalan raya negara, pihaknya akan mengambil pendekatan berhati-hati dalam merangka rang undang-undang berkenaan.

Anthony berkata, selepas sesi libat urus dan draf pindaan diluluskan Kabinet serta melalui bacaan pertama dan kedua di Dewan Rakyat, beliau akan mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi meneliti rang undang-undang itu secara lebih terperinci.

“Tujuannya supaya rang undang-undang ini mendapat sokongan merentasi parti dan semua pihak berkepentingan yang mempunyai kepakaran dapat memberikan pandangan serta syor penambahbaikan.

“Kita mahu menghasilkan satu kerangka perundangan yang jelas, boleh dilaksanakan dan berkesan dalam memberikan keadilan kepada mangsa serta meningkatkan keselamatan jalan raya,” katanya.

Jelasnya lagi, kerajaan menyasarkan untuk membentangkan rang undang-undang tersebut pada persidangan Parlimen penghujung tahun ini selepas pembentangan Belanjawan 2027, tertakluk kepada penyempurnaan proses libat urus dan penyediaan draf pindaan.

Mengulas lanjut, Loke berkata, jumlah pampasan tidak akan ditetapkan secara automatik atau secara pentadbiran oleh kerajaan, sebaliknya ditentukan oleh mahkamah berdasarkan fakta dan merit setiap kes.

Katanya, antara faktor yang akan diambil kira termasuk tahap keseriusan kesalahan, kecederaan atau kehilangan nyawa, kerugian yang ditanggung mangsa atau waris serta kemampuan pesalah untuk membayar.

“Mekanisme pampasan itu juga tidak akan menjejaskan hak mangsa atau waris untuk membuat tuntutan insurans atau mengambil tindakan sivil melalui saluran perundangan sedia ada.

“Cadangan ini diwujudkan bagi membantu mangsa mendapatkan keadilan tanpa perlu melalui proses tuntutan sivil yang lazimnya mengambil masa panjang dan melibatkan kos guaman yang tinggi.

“Kita tahu kadangkala mangsa atau keluarga mangsa tidak mempunyai kemampuan untuk mengambil tindakan sivil ataupun tidak mempunyai kesedaran mengenainya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kabinet turut bersetuju secara dasar untuk memperkukuh Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (Kejara) sebagai mekanisme mengenal pasti dan mengawal pemandu berisiko tinggi serta pesalah berulang.

Katanya, penambahbaikan yang dicadangkan termasuk tatacara pemakluman mata demerit yang lebih jelas, mekanisme representasi dan semakan pentadbiran serta pelarasan atau penghapusan mata demerit sekiranya sesuatu kesalahan tidak dibuktikan atau tiada sabitan dikenakan.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat