KUALA LUMPUR,– Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan partinya tidak pernah meninggalkan Perikatan Nasional (PN) secara sukarela, sebaliknya mendakwa BERSATU telah dinafikan hak sebagai parti pengasas dan anggota sah gabungan tersebut.
Dalam satu kenyataan hari ini, Muhyiddin berkata beliau kesal dengan tuduhan yang dilemparkan oleh Tan Sri Annuar Musa yang mendakwa BERSATU menjadi penghalang kepada usaha penyatuan politik Melayu.
Menurut beliau, BERSATU yang mengasaskan PN masih kekal sebagai parti anggota yang sah, namun proses rundingan kerusi pilihan raya bersama parti itu telah dihentikan tanpa alasan yang munasabah.
Beliau turut mendakwa BERSATU tidak dijemput menghadiri Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi PN yang memuktamadkan pembahagian kerusi pilihan raya dalam kalangan parti-parti anggota.
“Jadi, mengapa BERSATU dituduh bertindak mendahului keputusan mesyuarat jika mesyuarat pun tidak dijemput?” katanya.
Muhyiddin turut menyentuh isu rundingan antara kepimpinan PN dengan Barisan Nasional (BN). Menurut beliau, Pengerusi PN sendiri mengakui telah memberi kebenaran supaya rundingan dijalankan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan isu yang dipersoalkan bukanlah rundingan itu sendiri, sebaliknya proses membuat keputusan yang didakwa tidak melalui Majlis Tertinggi PN terlebih dahulu.
Katanya, perkara yang melibatkan dasar gabungan sepatutnya dibincangkan dan mendapat mandat semua parti anggota sebelum sebarang keputusan dibuat, bukannya dibawa untuk pengesahan selepas persetujuan dicapai.
Muhyiddin berkata sepanjang lima tahun beliau menerajui PN, setiap keputusan penting termasuk pembahagian kerusi pilihan raya dibuat menerusi mesyuarat dan rundingan yang melibatkan semua parti anggota.
“Hari ini, segalanya telah berkecamuk,” katanya.
Beliau turut menolak dakwaan bahawa BERSATU menghalang penyatuan Melayu, sambil mengingatkan bahawa perjuangan menyatukan orang Melayu menjadi asas penubuhan parti itu.
Menurutnya, ketika penubuhan PN, beliau pernah menggagaskan supaya gabungan tersebut menjadi sebuah parti induk yang menghimpunkan parti-parti Melayu termasuk UMNO bersama parti pelbagai kaum.
Namun, katanya, UMNO menolak untuk menyertai PN dan hanya sebahagian Ahli Parlimen UMNO menyokong Kerajaan Perikatan Nasional ketika itu.
Beliau turut mendakwa Ahli Parlimen UMNO kemudiannya berkomplot menjatuhkan kerajaan PN yang dipimpin oleh parti Melayu, dan mendakwa situasi sama sedang berlaku dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini.
Muhyiddin seterusnya mendakwa hasrat PAS untuk mewujudkan kerjasama politik dengan UMNO menyebabkan hubungan dengan BERSATU diputuskan sehingga parti itu diketepikan daripada PN.
Menurut beliau, perkembangan tersebut bukanlah mencerminkan penyatuan Melayu yang sebenar, sebaliknya hanya merupakan penjajaran semula kuasa politik.
Walaupun mengakui perpisahan tersebut, Muhyiddin mengucapkan selamat maju jaya kepada PN dan menegaskan BERSATU akan meneruskan perjuangannya secara bersendirian.
“BERSATU tidak akan menoleh ke belakang lagi. Parti ini akan terus berdiri dan mara ke hadapan menjulang panji-panji perjuangannya demi Malaysia dan seluruh rakyatnya,” katanya.


