KUALA LUMPUR – Pengalaman Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor membuktikan bahawa kepentingan agama dan umat hendaklah mengatasi kepentingan parti.
Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, mengambil pendekatan bekerjasama bagi memperkukuhkan kuasa politik Melayu Islam, malah sanggup berkorban demi memastikan kepimpinan terus mampu mempertahankan kedudukan Islam serta menjamin kestabilan negeri.
“Pendekatan yang sama perlu difahami dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Sembilan.
“Perbezaan politik tidak seharusnya menjadi penghalang kepada usaha menyatukan kekuatan umat apabila berdepan cabaran yang boleh menggugat kedudukan Islam, orang Melayu dan institusi yang menjadi asas kepada negara,” katanya.
Hadi mengingatkan bahawa sejarah turut mengajar bahawa kejatuhan Andalusia bukan berpunca daripada kelemahan tamadunnya, tetapi akibat perpecahan dalam kalangan umat Islam sehingga membuka ruang kepada musuh menguasai negeri mereka.
“Peristiwa ini hendaklah dijadikan iktibar agar perpaduan sentiasa dipelihara dan kepentingan yang lebih besar didahulukan.
“Semoga Allah SWT mengurniakan petunjuk kepada seluruh umat Islam agar terus bersatu mempertahankan agama serta mengutamakan amanah dan maslahat umat dalam setiap keputusan yang diambil,” kata beliau.



