Oleh Zihan Zari
KUALA LUMPUR – Balai Seni Negara dengan sokongan penuh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan menganjurkan Malaysia Art Ecosystem Fair (MAEF) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) dekat sini, pada 27 hingga 29 November ini.
Balai Seni Negara dalam kenyataan berkata, MAEF sebuah platform pembangunan industri seni visual yang menghimpunkan keseluruhan rantaian ekosistem seni dalam satu penganjuran.
“Bertemakan ‘ART KL’, MAEF 2026 mencerminkan komitmen Balai Seni Negara dalam memperkasa pembangunan industri seni visual melalui penyatuan pelbagai pemain industri, pengukuhan jaringan kerjasama strategik serta pemerkasaan ekonomi kreatif.
“Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI serta Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), MAEF 2026 berperanan sebagai platform strategik dalam memperkukuh agenda pembangunan ekonomi kreatif negara melalui pemerkasaan ekosistem seni visual, pembangunan modal insan serta pengembangan pasaran industri seni secara mampan, ”kata kenyataan itu.
Katanya, penganjuran ini merupakan kesinambungan daripada MAEF 2021 yang sebelum ini memberi tumpuan kepada usaha pemulihan industri seni visual pasca pandemik COVID-19.
“Memasuki fasa baharu, MAEF 2026 memberi penekanan kepada peningkatan daya saing industri, pembangunan pasaran yang lebih berdaya tahan serta peluasan jaringan kerjasama di peringkat domestik dan antarabangsa.
“Seiring dengan pelaksanaan Tahun Melawat Malaysia 2026, MAEF 2026 turut bermatlamat memperkukuh kedudukan seni visual sebagai salah satu tarikan pelancongan budaya negara, di samping memperluas promosi seni tempatan kepada masyarakat serta pelawat antarabangsa, ”katanya lagi.
Ujarnya, MAEF 2026 menghimpunkan pelbagai pemegang taruh dalam ekosistem seni visual negara termasuk galeri seni komersial, artis, studio, kolektif seni, persatuan seni visual, muzium dan galeri awam, institusi pengajian tinggi, sekolah seni, akademi, penyedia perkhidmatan industri, pembekal bahan seni, penerbit, pembingkai, pereka grafik serta usahawan kreatif.
“Penyertaan pelbagai sektor ini mewujudkan ekosistem yang lebih bersepadu dalam memperkukuh rantaian nilai industri seni visual negara.
“Platform ini menampilkan gabungan elemen pameran, pendidikan dan ekonomi kreatif melalui penyertaan studio, kolektif dan pengamal seni visual, galeri awam dari
seluruh negara, institusi pengajian tinggi awam (IPTA), badan korporat, sekolah seni, akademi serta kolej yang menawarkan program seni visual, ”ujarnya lagi.
Tambahnya, MAEF 2026 turut menghimpunkan usahawan industri seni yang menawarkan produk eksklusif, bahan seni, penerbitan, perkhidmatan pembingkaian serta reka bentuk grafik di bawah satu ruang yang sama.
“Pelbagai aktiviti bengkel dan demonstrasi seni akan dilaksanakan sepanjang penganjuran bagi memperkukuh penyampaian ilmu serta meningkatkan penglibatan masyarakat, di samping membuka ruang kepada perkongsian ilmu, jaringan kerjasama dan peluasan peluang pasaran kepada produk seni kreatif tempatan.
“MAEF 2026 turut mengetengahkan penyertaan galeri seni kontemporari yang menampilkan karya melalui proses kuratorial bagi pasaran tempatan dan serantau.
“Penyertaan ini bukan sahaja menyediakan platform pameran kepada artis di bawah naungan masing-masing, malah menjadi pemacu kepada pertumbuhan ekonomi kreatif sepanjang penganjuran.
“Selain pameran seni, Ruang Wacana akan mengetengahkan perbincangan berkaitan H.T.C.S. (History, Theory, Criticism, Studio) dalam konteks seni visual dengan penyertaan akademik, pengkaji, sejarawan, kurator, penulis serta artis dari dalam dan luar negara.
“Program ini akan berlangsung sepanjang tiga hari sebagai wadah perkongsian ilmu dan percambahan idea dalam kalangan penggiat serta pencinta seni visual, ”tambahnya lagi.
Dalam perkembangan sama, MAEF 2026 bukan sahaja memberi tumpuan kepada pameran dan pemasaran karya seni, malah turut menekankan pembangunan modal insan melalui program pendidikan, bengkel, demonstrasi seni, sesi wacana serta jaringan profesional yang mampu meningkatkan kompetensi dan daya saing pemain industri seni visual negara.
Balai Seni Negara yakin bahawa MAEF 2026 akan menjadi pemangkin kepada pembangunan industri seni visual negara melalui pengukuhan ekosistem yang lebih mampan, peningkatan aktiviti ekonomi kreatif serta peluasan peluang pasaran kepada penggiat industri.
Penganjuran ini diharap dapat memperkukuh kedudukan seni visual sebagai sektor strategik negara yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi, pelancongan budaya serta kesejahteraan masyarakat.-SUARA.TV



