Tatakelola, risikan AFEI Perkeso bongkar tuntutan palsu Daya Kerjaya

KUALA LUMPUR: Urus tadbir dan tatakelola yang diterapkan di Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menjadi faktor utama terbongkarnya tuntutan palsu insentif Daya Kerjaya.

Modus operandi dengan memalsukan dokumen tuntutan, didalangi segelintir majikan itu ‘dihidu’ oleh bahagian Anti-Fraud, Etika dan Integriti (AFEI) PERKESO sekitar penghujung 2024, sebelum disusuli siasatan dalaman dan risikan di lapangan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed, berkata maklumat risikan terperinci oleh AFEI meliputi 426 majikan yang disyaki terbabit dalam kegiatan jenayah itu kemudian diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Ogos 2025.

“Saya mengarahkan AFEI untuk bekerjasama dengan SPRM sehingga menyaksikan tangkapan besar-besaran dilaksanakan menerusi Op Daya pada 9 Jun lalu.

“Keberhasilan operasi yang membongkar kegiatan tuntutan palsu ini adalah hasil pelaksanaan tatakelola sedia ada di PERKESO, dengan dibantu kemudahan teknologi kecerdasan buatan (AI).

“Tindakan proaktif ini berjaya menyelamatkan dana insentif Daya Kerjaya berjumlah RM5.33 juta, selain tambahan RM1.5 juta lagi dana sama yang dikembalikan oleh majikan selepas mengaku terbabit dalam kegiatan jenayah ini,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr. Mohammed Azman berkata PERKESO turut menyempurnakan dasar Ikrar Bebas Rasuah (IBR) melalui SPRM dan menjalin kerjasama dengan suruhanjaya berkenaan bagi tujuan penambahbaikan proses berkaitan.

Sehubungan itu, katanya, pendekatan strategik bersama SPRM akan diteruskan supaya setiap tiada ruang untuk jenayah penipuan tuntutan palsu berlaku pada masa hadapan.

“Saya tidak akan berkompromi dengan mana-mana dalang yang terbabit atau bersekongkol dalam jenayah tuntutan palsu, termasuk jika melibatkan anggota dalaman PERKESO.

“PERKESO kekal komited untuk memperkukuh integriti demi memastikan setiap dana awam diuruskan dengan penuh tanggungjawab dan memberikan manfaat kepada pencarum, majikan serta rakyat Malaysia,” katanya.

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat