KUALA LUMPUR – Susulan keputusan Kabinet dan arahan Menteri Sumber Manusia, opsyen bagi pencarum yang memilih untuk dikecualikan (opt-out) daripada Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam) akan tersedia secara dalam talian menjelang Isnin ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed, berkata pihaknya mengambil maklum keputusan Jemaah Menteri, kelmarin untuk mengubah dasar LINDUNG 24 Jam yang hanya terpakai kepada pekerja tempatan, sementara mengekalkan langkah mandatori bagi pekerja asing.
Meskipun wujud perubahan dasar, beliau amat menggalakkan pekerja tempatan di Malaysia untuk terus mencarum skim LINDUNG 24 Jam yang mampu memberikan jaminan kesinambungan kehidupan melalui gantian pendapatan sekiranya ditimpa musibah di luar waktu kerja.
Jelasnya, caruman berkadar kecil berbanding premium perlindungan sedia ada dalam pasaran ini tidak sewajarnya dilihat sebagai bebanan, tetapi jaminan kehidupan keluarga kerana musibah hadir tanpa diduga.
“Mengikut statistik, purata sekitar 27 kes setiap hari direkodkan PERKESO untuk penyaluran faedah LINDUNG 24 Jam hampir RM2 juta dalam tempoh sebulan skim ini berkuat kuasa.
“Kadar ini lebih tinggi berbanding sekitar 13 kes permohonan setiap hari yang terpaksa ditolak oleh PERKESO pada 2025 kerana dikategorikan sebagai bukan bencana kerja, sekali gus mencerminkan keberkesanan LINDUNG 24 Jam bagi menampung kelangsungan hidup pencarum dan waris.
“Justeru, faedah yang disediakan melalui caruman berkadar rendah ini tidak wajar dipandang ringan kerana ia adalah sandaran utama di saat bencana merencatkan kehidupan,” katanya pada sidang media khas, di Ibu Pejabat PERKESO, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Dr. Mohammed Azman tidak menolak kemungkinan bahawa perubahan dasar LINDUNG 24 Jam bakal mempengaruhi kemapanan dana dan keberkesanan penyaluran faedah dalam jangka panjang.
Sehubungan itu, katanya, kajian semula mekanisme pelaksanaan LINDUNG 24 Jam bersama Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan dilakukan menjelang penghujung tahun ini.
“PERKESO akan terus mempergiat usaha penyampaian maklumat yang jelas dan tepat bagi memastikan setiap pekerja memahami manfaat LINDUNG 24 jam supaya mereka memilih keputusan terbaik demi masa depan mereka serta keluarga.
“Sebagai agensi di bawah KESUMA, PERKESO kekal berpegang teguh pada misi utama untuk memperkukuh jaringan keselamatan sosial negara tanpa mengetepikan suara dan kebajikan pencarum,” katanya.
Menyentuh implikasi perundangan, Dr. Mohammed Azman berkata pencarum yang tidak berhasrat untuk meneruskan LINDUNG 24 Jam boleh memilih ‘opt-out’ dengan melengkapkan perakuan pelepasan liabiliti.
Beliau berkata perakuan berkenaan akan dijadikan asas perundangan sekiranya terdapat sebarang pertikaian pada masa depan, terutama dalam kes membabitkan kemalangan di luar waktu kerja.
“Memandangkan LINDUNG 24 Jam ini dikuatkuasakan menurut peruntukan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4), justeru pencarum yang ingin ‘opt-out’ daripada LINDUNG 24 Jam perlu menandatangani perakuan pelepasan liabiliti untuk dikecualikan daripada pemakaian akta ini.
“Ini untuk memastikan tiada sebarang implikasi perundangan di bawah Akta 4 jika berlaku kemalangan atau kecederaan kepada pencarum di luar waktu kerja,” katanya.



