KUALA LUMPUR – Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan, Pas tidak akan menjadi sebahagian Kerajaan Johor jika Barisan Nasional (BN) kembali memerintah andai beliau dilantik semula ke jawatan tertinggi itu.
Onn Hafiz berkata, beliau memberi jaminan kepada rakyat Johor bahawa Pas sama sekali tidak akan menjadi sebahagian pentadbiran kerajaan ‘dalam apa jua keadaan sekalipun’, lapor Sin Chew.
“Saya mahu perkara itu jelas,” katanya Pengerusi BN Johor itu lagi.
Onn Hafiz berkata, dakwaan Pas akan menjadi sebahagian kerajaan negeri hanyalah naratif politik bertujuan mengelirukan masyarakat Cina di Johor, menjelang hari pengundian Sabtu ini.
Beliau turut menafikan telah bersetuju memperuntukkan jawatan Adun lantikan kepada Pas sebagai pertukaran untuk parti berkenaan bertanding 11 kerusi sahaja pada PRN.
Onn Hafiz yang juga Ketua Umno Johor mengambil maklum BN bertembung dengan Pas di 11 kerusi tersebut, sambil menyatakan situasi itu bukti tiada sebarang bentuk kerjasama wujud dengan komponen Perikatan Nasional (PN).
“Adakah anda nampak saya berkempen di Maharani atau Kahang dan mana-mana DUN lain ditandingi Pas? Saya sendiri turun ke sana untuk berkempen bagi calon BN,” katanya.
Awal minggu ini, calon DAP bagi Skudai, J Kartiyaini menyeru BN mendedahkan sama ada telah memperuntukkan jawatan Adun lantikan kepada PAS sebagai sebahagian persefahaman politik secara senyap pada PRN Johor.
Malam tadi, Presiden Pas Tan Sri Hadi Awang, berkata parti itu sedia menyokong BN membentuk kerajaan Johor sekiranya gabungan itu gagal memperoleh majoriti mudah.
56 DUN menjadi rebutan dengan majoriti mudah menubuhkan kerajaan adalah 29 kerusi. BN menang 40 DUN pada PRN lalu yang diadakan pada 2022.



