KUALA LUMPUR – Polis sedang memantau aktiviti segelintir pengasas produk kosmetik dan jualan dalam talian yang mempamerkan kekayaan luar biasa di media sosial untuk mengesan sebarang unsur pengubahan wang haram.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, walaupun aktiviti jualan golongan terbabit tidak dikesan melibatkan unsur penipuan, tindakan mempamerkan gaya hidup mewah termasuk wang tunai dalam siaran langsung di media sosial menarik perhatian pihak berkuasa.
Katanya pemantauan itu dibuat dari aspek kemungkinan berlakunya aktiviti pengubahan wang haram.
“Mereka kini berada dalam radar kami. Polis pantau dari segi pengubahan wang haram.
“Kalau ada kesalahan, kita (polis) akan ambil tindakan bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM),” katanya memetik Bernama.
Yusoff berkata individu yang disiasat perlu mengemukakan dokumen sokongan termasuk resit dan rekod transaksi bagi menjelaskan sumber kewangan mereka.
Mengulas lanjut, beliau berkata tindakan mempamerkan kekayaan secara berlebihan di media sosial lazimnya bertujuan menarik perhatian orang ramai terhadap produk yang dijual.
“Orang nampak kaya, nampak duit berkepuk-kepuk, jadi mereka fikir produk itu laris dan boleh membawa keuntungan besar,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Yusoff menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap sindiket penipuan (scammer) dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat.
Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya sentiasa meningkatkan pengetahuan mengenai modus operandi scammer, mengelakkan menjawab panggilan daripada nombor yang tidak dikenali serta menggunakan platform jual beli yang sah dan dipercayai.
“Kalau ada pelaburan yang menjanjikan untung besar dalam masa singkat, itu perlu dicurigai. Pegang pepatah orang tua-tua, ‘bukan senang nak jadi senang’ supaya kita tidak mudah ditipu.
“Kalau malas sangat membaca, tanyalah ChatGPT bagaimana hendak mengelakkan scammer,” katanya.



