KUALA LUMPUR — Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari menjelaskan menaiki bas ekspres dari Kelantan ke Kuala Lumpur bukan perkara luar biasa bagi sebahagian wakil rakyat PAS, khususnya ketika menghadiri sidang Parlimen atau program rasmi parti.
Beliau berkata demikian bagi menjawab dakwaan kononnya beliau bermewah-mewah selepas dilihat tiba di Majlis Perasmian Mesyuarat Agung PAS Kawasan Gombak dengan menaiki sebuah kereta Mercedes.
Menurut Fadhli, kenderaan itu bukan miliknya dan beliau juga tidak memiliki kereta Mercedes seperti yang didakwa sesetengah pihak.
Sebaliknya, beliau berkata, perjalanan sebenar bermula dari Kota Bharu dengan menaiki bas Naza Ekspress pada jam 11 malam sebelum tiba di Terminal Bersepadu Gombak kira-kira jam 5.30 pagi.
Katanya, selepas tiba di Gombak, urusetia program menjemput beliau dan membawanya ke Pejabat PAS Hulu Klang untuk bersiap serta bersarapan sebelum bergerak ke lokasi majlis.
“Kereta itu bukan milik saya, saya tidak memiliki kereta Mercedes,” katanya dalam satu kenyataan.
Fadhli menjelaskan, kereta Mercedes berkenaan adalah milik seorang ahli PAS kawasan dan hanya digunakan untuk membawa beliau dari Pejabat PAS Hulu Klang ke lokasi program.
Beliau berkata, bas ekspres sememangnya antara pengangkutan lazim digunakan sebahagian ahli Parlimen PAS ketika sidang berlangsung, selain kapal terbang atau kereta api bagi perjalanan tertentu.
Menurutnya, kenderaan peribadi biasanya ditinggalkan di Kuala Lumpur, manakala perjalanan ulang-alik dari Kelantan dibuat menggunakan pengangkutan awam kerana lebih menjimatkan masa dan tenaga.
Fadhli berkata, beliau pada asalnya tidak berhasrat mendedahkan perkara seperti itu kerana ia bukan sesuatu yang perlu dibanggakan.
Namun katanya, penjelasan tersebut perlu dibuat selepas timbul dakwaan seolah-olah beliau menggunakan kereta peribadi mewah.
Beliau turut menyifatkan dakwaan pemimpin PAS bermewah-mewah menggunakan kereta mahal sebagai tidak berasas.
“Jika nak kata kami bermewah-mewah guna kereta peribadi yang mahal, itu peluru kapur. Cuba lagi,” katanya.



