Puad pertahan kempen bersama PH, dakwa pemimpin UMNO masih terperangkap politik lama

JOHOR BAHRU – Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Puad Zarkashi mempertahankan tindakannya berkempen di pentas Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sambil menyifatkan kritikan yang diterimanya sebagai bukti masih wujud pemikiran politik sempit dalam kalangan sebahagian pemimpin UMNO.

Puad yang keluar UMNO beberapa hari sebelum pilihan raya negeri berkata beliau menghadiri ceramah di Felda Ulu Tebrau pada malam tadi bagi menyatakan sokongan kepada calon PH daripada PKR, Dr Maszlee Malik, dalam program yang turut menampilkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai penceramah utama.

Menurutnya, pada sebelah pagi beliau turut memuat naik infografik menyokong calon Amanah, Yazid Bakri, yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit.

Beliau berkata tindakannya itu mengundang pelbagai kecaman, termasuk daripada Setiausaha Politik Presiden UMNO, Razlan Rafii, yang menyindir supaya beliau menyertai DAP.

“Begitulah pemikiran sempit segelintir pemimpin UMNO. Mereka masih mengamalkan politik bawah tempurung dan menyangka mengaitkan seseorang dengan DAP akan mengembalikan sokongan orang Melayu kepada UMNO,” katanya dalam satu kenyataan.

Puad turut mendakwa suasana kempen di Felda Ulu Tebrau menunjukkan perubahan sokongan pengundi, walaupun kawasan itu sebelum ini dianggap kubu kuat UMNO.

Katanya, kehadiran orang ramai pada ceramah tersebut membuktikan pengundi Felda kini lebih bebas membuat pilihan politik, namun beliau berpandangan sebahagian pemimpin UMNO masih menggunakan naratif lama yang semakin tidak relevan.

Beliau juga mengulangi pandangannya bahawa UMNO perlu dipimpin oleh generasi baharu bagi menarik sokongan pengundi muda, terutama Generasi Z dan Generasi Alpha, dan bukannya terus bergantung kepada pemimpin yang sama.

Mengulas kehadirannya di pentas PH, Puad berkata beliau hadir sebagai penyokong Kerajaan Perpaduan yang disokongnya sejak awal penubuhannya.

“Saya sudah keluar daripada UMNO. Hak saya untuk menyokong mana-mana calon berdasarkan pertimbangan peribadi,” katanya.

Dalam ucapannya, Puad turut menyatakan sokongan terhadap usaha kerajaan Persekutuan membangunkan Johor sebagai hab ekonomi bertaraf serantau menerusi pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Beliau berkata kejayaan JS-SEZ berpotensi menjadikan Johor sebagai “Shenzhen Asia Tenggara” dan menyifatkan inisiatif itu wajar mendapat sokongan semua pihak.

Pada masa sama, beliau menasihatkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi supaya tidak menjadikan isu pelancaran pelan induk JS-SEZ sebagai pertikaian antara kerajaan negeri dan Persekutuan, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha menjayakan agenda pembangunan tersebut.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat