Pendaratan belangkas meningkat 14.44 peratus, pemuliharaan spesies bernilai tinggi dikukuhkan

Oleh Zihan Zari

PUTRAJAYA – Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) menegaskan komitmen berterusan dalam memperkukuh usaha pemuliharaan belangkas, spesies marin purba yang bukan sahaja penting kepada keseimbangan ekosistem pesisir, malah mempunyai nilai ekonomi dan saintifik yang tinggi kepada negara.

Berdasarkan data perangkaan pendaratan rasmi DOF, jumlah pendaratan belangkas negara menunjukkan trend peningkatan yang konsisten bagi tempoh 2023 hingga 2025, iaitu daripada 232.80 tan metrik pada tahun 2023 kepada 237.65 tan metrik pada tahun 2024, sebelum meningkat kepada 266.42 tan metrik pada tahun 2025.

Secara keseluruhan, jumlah ini mencerminkan pertumbuhan sebanyak 14.44 peratus (%) dalam tempoh tiga tahun.

Selari dengan peningkatan pendaratan, nilai borong keseluruhan pasaran belangkas turut merekodkan pertumbuhan positif sebanyak 9.32 %, meningkat daripada RM2.45 juta pada tahun 2023 kepada RM2.68 juta pada tahun 2025.

Walaupun sumbangan belangkas kepada keseluruhan sektor perikanan tangkapan negara adalah kecil, iaitu sekitar 0.019 % daripada jumlah pendaratan, komoditi ini mempunyai nilai premium yang signifikan dan berpotensi menjana pendapatan tambahan kepada komuniti nelayan pesisir.

Belangkas merupakan khazanah biodiversiti marin negara yang mempunyai nilai strategik tinggi, bukan sahaja kepada ekosistem pesisir malah dalam bidang biosains dan bioperubatan, kata Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, Dato’ Adnan Hussain.

“Peningkatan pendaratan belangkas yang direkodkan menunjukkan ekosistem pesisir negara masih berupaya menyokong kelangsungan spesies ini.

“Namun, tekanan terhadap habitat semula jadi akibat pembangunan, pencemaran dan eksploitasi berlebihan menuntut tindakan pemuliharaan yang lebih bersepadu dan berterusan,” katanya dalam kenyataan sempena sambutan Hari Belangkas Sedunia 2026.

“Belangkas , yang sering digelar sebagai ‘fosil hidup’, merupakan spesies purba yang telah mendiami bumi sejak lebih 400 juta tahun,”katanya dalam kenyataan sempena sambutan Hari Belangkas Sedunia 2026.

Katanya lagi, keunikan utama spesies ini terletak pada darahnya yang berwarna biru, yang mengandungi komponen Amebocyte Lysate, iaitu bahan kritikal dalam ujian keselamatan vaksin dan ubat-ubatan bagi mengesan pencemaran bakteria.

“Malaysia juga amat bertuah kerana menjadi habitat kepada tiga daripada empat spesies belangkas dunia, iaitu Carcinoscorpius rotundicauda, Tachypleus gigas dan Tachypleus tridentatus, sekali gus memperkukuh kedudukan negara sebagai antara lokasi penting dalam pemuliharaan biodiversiti marin serantau, ”ujarnya.

Ujarnya lagi, walaupun data pendaratan menunjukkan perkembangan positif, populasi belangkas masih berdepan pelbagai ancaman termasuk kemusnahan habitat akibat pembangunan pesisir, pencemaran sisa plastik serta aktiviti pengambilan telur secara tidak terkawal.

“DOF akan terus memperkukuh usaha pemuliharaan melalui penguatkuasaan, penyelidikan saintifik berimpak tinggi, program pelepasan juvenil serta pewartaan kawasan pembiakan sebagai zon perlindungan bagi memastikan kelestarian spesies ini terus terpelihara.

“Sempena Hari Belangkas Sedunia 2026, DOF menyeru seluruh masyarakat untuk bersama-sama memelihara ekosistem pesisir dan hutan bakau negara,”tambahnya.

Tambahnya lagi, usaha melindungi belangkas bukan sahaja penting dalam mengekalkan keseimbangan biodiversiti marin, malah mencerminkan komitmen negara terhadap pemuliharaan sumber semula jadi yang bernilai tinggi untuk generasi akan datang.-SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat