Enam Pembesar Negeri mohon injunksi interim, pendengaran secara Zoom petang ini

SEREMBAN – Permohonan enam anggota Dewan Keadilan dan Undang (DKU) bagi mendapatkan perintah injunksi interim akan didengar Mahkamah Tinggi Seremban petang ini menerusi prosiding secara sidang video.

Pendengaran di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi dijadual berlangsung pada jam 3.30 petang, susulan permohonan injunksi yang difailkan plaintif-plaintif dalam saman berhubung pertikaian berkaitan keanggotaan dan pentadbiran Dewan Keadilan dan Undang.

Peguam yang mewakili plaintif memaklumkan kepada mahkamah bahawa mereka akan memohon perintah injunksi ad interim bagi mengekalkan status quo sementara mahkamah membuat keputusan terhadap permohonan injunksi interlokutori.

Plaintif dalam tindakan itu ialah YTM Dato’ Klana Petra Dato’ Haji Mubarak Thahak, YTM Dato’ Mendika Menteri Akhirulzaman Dato’ Maarof Mat Rashad, YTM Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Dato’ Muhammed Abdullah, YTM Dato’ Sedia Raja Dato’ Abdul Rahim Yasin, YTM Tunku Syed Razman ibni Almarhum Tunku Syed Idrus Al-Qadri dan YAM Dato’ Seri Utama Haji Badarudin Abdul Khalid. Mereka menamakan Raja Norazli Raja Nordin, Dewan Keadilan dan Undang serta Kerajaan Negeri Sembilan sebagai defendan.

Melalui notis permohonan yang difailkan semalam, plaintif memohon mahkamah menghalang defendan daripada mengambil sebarang tindakan yang boleh menjejaskan kedudukan mereka sebagai Undang Luak Sungai Ujong, Undang Luak Jelebu, Undang Luak Johol, Undang Luak Rembau, Tunku Besar Tampin dan Dato’ Shahbandar Sungai Ujong serta sebagai anggota DKU sehingga saman utama diputuskan.

Mereka turut memohon supaya defendan dihalang daripada melantik atau memberi kuasa kepada mana-mana individu untuk menjalankan fungsi jawatan berkenaan, mengubah status quo pentadbiran DKU, memanggil mesyuarat DKU atau mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi bagi pihak DKU sementara prosiding mahkamah masih berjalan.

Dalam afidavit sokongan yang diikrarkan pada 29 Jun, plaintif berhujah bahawa permohonan injunksi itu diperlukan bagi memelihara status quo sementara menunggu pelupusan saman pemula yang difailkan pada 5 Mei lalu. Mereka mendakwa pelantikan individu baharu sebagai Undang Luak Sungai Ujong dan Undang Luak Rembau akan menjejaskan kedudukan mereka sebagai anggota DKU serta mengubah komposisi dan pentadbiran badan berkenaan sebelum isu substantif diputuskan oleh mahkamah.

Prosiding petang ini dijangka menjadi perkembangan penting dalam kemelut perundangan membabitkan keanggotaan Dewan Keadilan dan Undang serta kesahan pelantikan Undang Luak Sungai Ujong dan Undang Luak Rembau yang baharu.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat