KUALA LUMPUR – Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr. Puad Zarkashi mendakwa Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebenarnya takut untuk berdebat dengan Dr. Maszlee Malik.
Puad berkata, alasan Onn Hafiz bahawa “bertikam lidah dan berdebat bukan cara Johor” tidak boleh diterima kerana budaya berdebat tidak semestinya berlangsung secara kasar.
“Siapa kata berdebat bukan cara Johor? Cara Johor ialah berdebat biar beradab, berhemah, tidak menengking dan tiada boo.
“Berdebat biar ada hujah dan rasional. Saya yakin Onn Hafiz banyak hujah. Sepatutnya Onn Hafiz setuju berdebat. Itu beri peluang kepada rakyat buat penilaian,” katanya dalam satu kenyataan.
Puad turut menyindir sekiranya Onn Hafiz tidak bersedia berdebat, beliau boleh menghantar Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh sebagai wakil.
“Kalau takut, Onn Hafiz boleh hantar Dr. Akmal Salleh sebagai wakil. Dia memang berani, cuma berani tidak bertempat,” katanya.
Dalam masa sama, Puad turut mendakwa Onn Hafiz pernah melarangnya ketika beliau menjadi Speaker DUN Johor daripada membenarkan perbahasan Enakmen ADUN Lantikan melibatkan wakil kerajaan dan pengimbang.
Menurut Puad, beliau pernah mempersoalkan mengapa perkara itu perlu ditakuti sedangkan kerajaan ketika itu mempunyai majoriti dua pertiga di DUN Johor.
“Dia kata takut pengimbang akan gunakan itu untuk mengkritik program Bantuan Kasih Johor,” dakwanya.
Puad turut mendakwa ada ketika Onn Hafiz memintanya memendekkan masa sesi soal jawab lisan atau perbahasan dalam sidang DUN.
“Saya kata tidak boleh. Tidak adil kepada YB-YB yang menyediakan soalan. Ia juga merendahkan martabat DUN kerana nadi Dewan ialah soalan lisan daripada wakil rakyat,” katanya.
Mengakhiri kenyataannya, Puad berkata beliau sendiri bersedia berdebat dengan Onn Hafiz sekiranya Menteri Besar Johor itu tidak berani berdebat dengan Maszlee.
“Kalau tidak berani dengan Dr. Maszlee, berdebat dengan saya pun okey juga,” katanya.



