KUALA LUMPUR – BERSATU menggesa pengundi memberikan sokongan kepada semua calon yang bertanding menggunakan logo Perikatan Nasional (PN), sambil menegaskan kemenangan mana-mana calon di bawah lambang gabungan itu merupakan kemenangan PN secara keseluruhannya.
Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Tun Faisal Ismail berkata, BERSATU kekal komited dan setia bersama PN serta jenama gabungan tersebut.
Menurut beliau, PN bertanding sebagai satu entiti, termasuk calon daripada Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) yang menggunakan logo PN.
“PN bertanding sebagai satu entiti. Kemenangan semua calon yang menggunakan logo PN, termasuk dari parti PEJUANG adalah kemenangan PN.
“Sebagai pemimpin parti anggota dalam PN, kesetiaan kepada jenama (brand loyalty) ini perlu jelas agar kemenangan PN dapat dimaksimumkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Tun Faisal berkata, pendirian itu menjadi lebih penting selepas Presiden Barisan Nasional (BN) menegaskan bahawa sekiranya BN diberi mandat mentadbir, pendirian gabungan itu akan selari dengan kerajaan PH-BN di peringkat Persekutuan.
Dakwanya, kenyataan tersebut menunjukkan undi kepada BN adalah sama seperti memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, DAP dan Pakatan Harapan (PH).
“Ini mengukuhkan sebab kenapa parti-parti anggota PN perlu memberikan sokongan penuh kepada semua calon PN dan bukan BN,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa BERSATU akan terus menyokong semua calon yang bertanding menggunakan logo PN sepanjang kempen pilihan raya.



