SUARAM bantah cadangan imuniti pegawai penjara, gesa Seksyen 63A ditarik balik

KUALA LUMPUR – Pertubuhan hak asasi manusia, SUARAM menggesa kerajaan menarik balik cadangan memasukkan Seksyen 63A dalam Rang Undang-Undang Penjara (Pindaan) 2026 yang menurutnya berpotensi memberikan perlindungan undang-undang terlalu luas kepada pegawai penjara.

Gesaan itu dibuat sempena Hari Antarabangsa Menyokong Mangsa Penyeksaan yang disambut hari ini, ketika Parlimen sedang mempertimbangkan pindaan kepada Akta Penjara 1995.

Pengarah Eksekutif SUARAM, Azura Nasron berkata, cadangan seksyen baharu itu menimbulkan kebimbangan kerana ia dicadangkan hanya sebulan selepas keputusan Inkuiri Awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) berhubung dakwaan pelanggaran hak asasi manusia di Penjara Taiping.

Menurut beliau, inkuiri tersebut antara lain mendapati berlakunya penggunaan kekerasan fizikal melampau oleh pegawai penjara, penyalahgunaan baton dan penyembur lada, layanan yang menjatuhkan maruah tahanan, kegagalan menyediakan rawatan perubatan mencukupi, dakwaan pemalsuan laporan perubatan, kegagalan siasatan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta kelewatan tindakan pihak pendakwaan.

“Parlimen kini diminta mempertimbangkan satu peruntukan yang memberikan perlindungan berkanun daripada prosiding undang-undang kepada pegawai penjara, sedangkan tumpuan sepatutnya diberikan kepada pelaksanaan syor-syor Inkuiri Awam SUHAKAM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut SUARAM, Seksyen 63A yang dicadangkan akan memberi perlindungan kepada mana-mana pegawai penjara atau individu yang bertindak di bawah arahan Komisioner Jeneral sekiranya tindakan itu dilakukan dengan “suci hati” dan berdasarkan “kepercayaan yang munasabah”.

Pertubuhan itu berpandangan peruntukan berkenaan berisiko mewujudkan kekebalan undang-undang yang terlalu luas sehingga menyukarkan mangsa mendapatkan keadilan serta menjejaskan prinsip akauntabiliti dalam sistem penjara negara.

Sehubungan itu, SUARAM menggesa Ahli Parlimen menarik balik cadangan Seksyen 63A daripada Rang Undang-Undang Penjara (Pindaan) 2026.

Selain itu, pertubuhan berkenaan turut menggesa kerajaan melaksanakan syor-syor Inkuiri Awam SUHAKAM mengenai Penjara Taiping, termasuk mengambil tindakan tatatertib terhadap pegawai yang terlibat, menjalankan siasatan bebas serta melaksanakan reformasi struktur bagi menangani isu kesesakan dan keadaan penjara.

SUARAM juga menggesa Malaysia mempercepatkan penyertaan ke dalam Konvensyen Menentang Penyeksaan dan Layanan atau Hukuman Lain yang Zalim, Tidak Berperikemanusiaan atau Menjatuhkan Maruah (UNCAT), di samping menggubal undang-undang anti-penyeksaan yang komprehensif.

“Ukuran sebenar reformasi penjara bukanlah sejauh mana institusi dilindungi daripada penelitian, tetapi sejauh mana maruah, hak dan nyawa individu yang dilucutkan kebebasan mereka dilindungi serta sejauh mana akauntabiliti ditegakkan terhadap penyalahgunaan kuasa oleh pegawai negara,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat