Belum masanya PN umum calon Perdana Menteri – Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) tidak bercadang mengumumkan calon Perdana Menteri lebih awal kerana berpendapat amalan itu tidak lagi sesuai dengan landskap politik semasa yang menyaksikan tiada satu parti mempunyai majoriti mutlak di Parlimen.

Ketua Penerangan PN, Tan Sri Annuar Musa berkata, dalam situasi politik hari ini, pembentukan kerajaan lazimnya hanya ditentukan selepas pilihan raya melalui rundingan antara parti-parti yang berjaya memperoleh kerusi.

Menurut beliau, pengumuman calon Perdana Menteri sebelum pilihan raya bukan lagi satu keperluan seperti era ketika Barisan Nasional (BN) memiliki majoriti mutlak.

“Saya tidak nampak keperluan untuk menamakannya. Politik Malaysia hari ini sudah berbeza.

“Dulu BN mempunyai majoriti mutlak. Siapa menjadi Presiden UMNO, secara automatik dia menjadi Perdana Menteri. Hari ini tidak begitu,” katanya dalam Podcast Jam Kesebelas episod ke-30 yang dikendalikan oleh penganalisis politik Ab Jalil Backer dan Elviza Michele Kamal.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar, sudah bersedia dinamakan sebagai calon Perdana Menteri gabungan itu.

Annuar berkata, PAS sejak dahulu tidak gemar membincangkan soal calon Perdana Menteri terlalu awal kerana menganggap perkara tersebut belum tiba masanya.

“PAS dari awal lagi tidak suka bercakap soal calon Perdana Menteri tertentu.

“Pada PAS, itu ibarat belum duduk sudah hendak berlunjur,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa mengumumkan calon Perdana Menteri seolah-olah mendahului proses yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, kuasa melantik Perdana Menteri merupakan prerogatif Yang di-Pertuan Agong selepas mengambil kira siapa yang mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

“Perlembagaan jelas menyatakan bahawa antara kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong ialah memilih Perdana Menteri.

“Itu kuasa mutlak baginda. Jadi kita tidak boleh mendahului atau seolah-olah mengambil alih kuasa tersebut,” katanya.

Menurut Annuar, budaya memperkenalkan “poster boy” atau calon Perdana Menteri sebelum pilihan raya juga bukan jaminan individu berkenaan akhirnya akan dilantik memegang jawatan itu.

Beliau mengambil contoh pelantikan Menteri Besar Johor yang tidak semestinya memihak kepada individu yang lebih awal diketengahkan sebagai calon.

“Kita boleh belajar daripada apa yang berlaku di Johor. Dulu ada poster boy tertentu yang diketengahkan sebagai calon Menteri Besar, tetapi akhirnya orang lain yang menjadi Menteri Besar,” katanya.

Mengulas lanjut, Annuar berkata rakyat seharusnya menilai sendiri kewibawaan pemimpin tanpa perlu menunggu pengisytiharan rasmi sebagai calon Perdana Menteri.

“Seseorang yang mempunyai kualiti sebagai Perdana Menteri tidak perlu mengisytiharkan dirinya sebagai calon Perdana Menteri.

“Rakyat boleh melihat sendiri siapa yang layak,” katanya.

Beliau berkata, dalam keadaan politik negara yang menyaksikan tiada parti mampu membentuk kerajaan secara bersendirian, sebarang keputusan mengenai calon Perdana Menteri hanya boleh dimuktamadkan selepas pilihan raya berdasarkan rundingan antara parti-parti yang memperoleh sokongan rakyat.

“Kalaupun PN mempunyai calon tertentu, tidak semestinya perlu diumumkan.

“Pada saya, terlalu awal mengumumkan calon Perdana Menteri adalah tidak wajar. Biarlah rakyat menilai kepimpinan dan kemampuan seseorang itu sendiri,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat