KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Puad Zarkashi hari ini mengumumkan keluar daripada UMNO berkuat kuasa serta-merta sambil membuat dakwaan bahawa UMNO Johor kini berada di bawah pengaruh Istana dalam membuat keputusan politik.
Pengumuman mengejutkan itu dibuat menerusi satu kenyataan bertajuk “Saya Keluar UMNO” yang dimuat naik di media sosialnya hari ini.
Puad berkata, keputusan meninggalkan parti dibuat tanpa sebarang keraguan dan bertujuan membolehkan beliau menyuarakan pandangan secara bebas tanpa lagi dituduh menikam parti dari belakang.
“Tanpa berat hati, saya umum keluar UMNO serta-merta mulai hari ini, 25 Jun 2026. Oleh itu UMNO tidak perlu bersusah payah memecat saya. Ia juga memudahkan saya berbeza pandangan tanpa dituduh menikam parti dari belakang,” katanya.
Menurut beliau, dakwaan bahawa beliau meninggalkan UMNO atas faktor kepentingan peribadi tidak berasas kerana keputusan itu dibuat ketika parti berkenaan dilihat berada dalam kedudukan kukuh menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
“Saya tinggalkan UMNO di saat Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Tan Sri Noh Omar kembali menyertai UMNO apabila melihat parti semakin kuat. Maka siapa yang ada kepentingan? Mereka atau saya?” soalnya.
Puad mendakwa faktor utama beliau meninggalkan UMNO ialah kerana UMNO Johor tidak lagi bebas membuat keputusan sendiri.
Beliau mendakwa Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, pernah memaklumkan kepadanya bahawa pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada 1 Jun lalu dibuat susulan titah daripada pihak Istana.
“Satu bukti jelas ialah YAB Datuk Onn Hafiz sendiri buat pengakuan kepada saya semasa pertemuan di Saujana pada 21 Jun 2026. Dia memaklumkan kepada saya bahawa pihak Istana yang bertitah supaya DUN Johor dibubarkan pada 1 Jun 2026,” dakwanya.
Selain itu, beliau mendakwa terdapat banyak lagi keadaan yang menunjukkan kepimpinan UMNO Johor hanya menurut arahan sehingga menyebabkan parti itu menjadi “boneka yang terikat”.
Puad berkata, beliau mengambil keputusan meninggalkan parti sebagai satu bentuk “keberanian politik” untuk mendedahkan perkara yang disifatkannya sebagai kemungkaran sebelum menjadi lebih parah.
Dalam masa sama, beliau mengakui bakal berdepan kecaman dan kemungkinan ancaman terhadap keselamatannya, namun tetap bersedia mempertahankan pendiriannya.
Beliau turut mengkritik kepimpinan UMNO yang disifatkannya sebagai “pengecut politik”, selain mendakwa senarai calon Barisan Nasional bagi PRN Johor tidak memenuhi aspirasi generasi muda kerana dipenuhi calon kitar semula dan bersifat sederhana.
Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang maklum balas rasmi daripada UMNO, UMNO Johor mahupun Menteri Besar Johor berhubung dakwaan yang dibangkitkan oleh Puad.


