KUALA LUMPUR – Dalam sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, rakyat berhak meminta penjelasan yang lebih mendalam sebelum dasar yang menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Selangor memperkenalkan garis panduan baharu yang mewajibkan pemaju menyerahkan sekurang-kurangnya 1.5 ekar tanah bagi pembinaan rumah ibadat agama-agama selain Islam dalam setiap pembangunan baharu yang mempunyai sekurang-kurangnya 5,000 penduduk dilaksanakan.
Ketua Penerangan Pas Ahmad Fadhli Shaari berkata, beliau membaca satu laporan berita pagi ini yang menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Selangor telah memperkenalkan garis panduan baharu yang mewajibkan pemaju menyerahkan sekurang-kurangnya 1.5 ekar tanah bagi pembinaan rumah ibadat agama-agama selain Islam dalam setiap pembangunan baharu yang mempunyai sekurang-kurangnya 5,000 penduduk.
“Pemaju juga diwajibkan menyediakan kemudahan sokongan seperti jalan masuk, bekalan air dan elektrik, di samping beberapa syarat berkaitan pembangunan rumah ibadat agama-agama selain Islam turut dilonggarkan. Terus terang, saya agak terganggu apabila membaca berita ini.
“Kita tentunya menghormati hak setiap rakyat Malaysia untuk mengamalkan agama masing-masing sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Namun, perkara yang menimbulkan kegusaran saya ialah keputusan Kerajaan Negeri Selangor ini menyentuh isu yang jauh lebih besar daripada sekadar pembinaan rumah ibadat.
“Isu ini menyentuh soal dasar tanah dan soal perancangan bandar. Ini soal penggunaan aset yang nilainya mencecah jutaan ringgit dalam sebuah negeri yang tanahnya semakin mahal dan semakin terhad.
“Saya tertanya-tanya, apakah kajian yang digunakan sehingga angka 5,000 penduduk dipilih sebagai syarat automatik? Adakah kerajaan negeri mengetahui terlebih dahulu komposisi agama penduduk yang bakal mendiami kawasan tersebut? Atau tanah diperuntukkan terlebih dahulu tanpa mengambil kira keperluan sebenar yang wujud?
“Dan perkara yang tidak boleh dinafikan ialah garis panduan ini akhirnya akan menyebabkan harga rumah dinaikkan oleh pemaju untuk menyerap kos penyediaan tanah yang diwajibkan itu. Atau kerajaan Selangor berfikir bahawa ia akan menjadi ‘CSR pemaju’? Jauh sekali,” katanya.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, dalam mana-mana dasar awam yang baik, keperluan mendahului ideologi. Data mendahului sentimen.
“Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan meletakkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan. Kedudukan ini bukan sekadar hiasan dalam buku undang-undang. Ia merupakan sebahagian daripada struktur asas negara yang dipersetujui sejak kemerdekaan. Sebab itu rakyat berhak bertanya: mengapa dalam dasar baharu ini, yang begitu menonjol ialah kewajipan menyediakan tanah bagi rumah ibadat agama-agama selain Islam, sedangkan keperluan institusi Islam tidak diberikan penekanan yang setara?
“Saya percaya rakyat Malaysia cukup matang untuk menghormati kepelbagaian agama. Pada masa yang sama, rakyat juga cukup matang untuk bertanya soalan yang sukar kepada kerajaan.
“Mengapa dasar ini diwujudkan sekarang? Apakah keperluan mendesak yang mendorongnya? Apakah kajian impaknya? Dan mengapa keutamaan sebegini diberikan ketika isu rumah mampu milik, kesesakan jalan raya, kekurangan sekolah dan pelbagai masalah asas rakyat masih menunggu penyelesaian?
“Kerana akhirnya, persoalan sebenar terletak pada hala tuju negeri dan keutamaan kerajaan dalam mengurus amanah tanah yang dimiliki oleh rakyat.
“Saya bukan rakyat negeri Selangor. Tetapi jika dasar ini dibawa oleh kerajaan negeri Selangor yang diterajui oleh Pakatan Harapan, tidak mustahil semangatnya akan turut dibawa ke Persekutuan yang ditadbir oleh rejim parti yang sama.
“Perlu diingat, RUU URA juga sedang di dalam perjalanan untuk dibentang untuk bacaan kali kedua di Parlimen,” tegasnya.
Baru-baru ini media melaporkan, Majlis Gereja-Gereja Malaysia (CCM) menyatakan Selangor telah meminda garis panduan perancangan kontroversinya, dengan memansuhkan sekatan ketinggian ke atas rumah ibadat bukan Islam dan membenarkan premis sedemikian dibina di atas tanah komersial, perindustrian, dan institusi.
“CCM berkata, ia dimaklumkan mengenai perubahan itu dalam satu mesyuarat semalam antara kerajaan negeri dan kumpulan agama, yang dipengerusikan oleh exco Ng Sze Han, yang merupakan pengerusi bersama Jawatankuasa Khas Hal Ehwal Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh, dan Tao (Limas).
Dalam satu kenyataan, CCM menyatakan Garis Panduan dan Piawaian Perancangan Kemudahan Komuniti Negeri Selangor 2025 yang dipinda itu juga akan memberikan fleksibiliti yang lebih besar kepada jalan masuk dan keperluan anjakan untuk rumah ibadat bukan Islam, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa tempatan dan Limas.
Bagi pembangunan baharu dengan sekurang-kurangnya 5,000 penduduk, pemaju dikehendaki menyerahkan sekurang-kurangnya 1.5 ekar (0.6 hektar) tanah untuk diperuntukkan bagi rumah ibadat bukan Islam. Mereka juga mesti menyediakan jalan masuk yang sewajarnya dan infrastruktur asas, termasuk air dan elektrik, kata CCM.
Dia menambah bahawa Limas akan bertindak sebagai pengantara atau penimbang tara dalam pertikaian yang melibatkan pemilik hartanah dan pihak berkuasa tempatan.
“Garis panduan baru ini berkuat kuasa serta-merta (Jun 2026), dan ia hanya terpakai di negeri Selangor,” katanya.
Walau bagaimanapun, CCM menyatakan bahawa garis panduan tersebut masih belum diterbitkan.
CCM menyampaikan penghargaan kepada majlis mesyuarat kerajaan negeri atas pindaan tersebut, dan menyifatkan garis panduan yang dipinda itu sebagai “lebih inklusif dan adil”.



