Oleh Zihan Zari
PUTRAJAYA – Timbalan Ketua Pengarah (Kandungan Digital) Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN), Erwin Khairul Ahmad telah dilantik sebagai Ketua Pengarah JAPEN yang baharu berkuat kuasa 22 Jun 2026.
JAPEN dalam kenyataan memaklumkan pelantikan Erwin Khairul, 50, sebagai Ketua Pengarah JAPEN yang ke-20 sejak penubuhannya pada tahun 1945, bagi menggantikan Julina Johan yang telah bersara wajib pada 21 Jun 2026.
Erwin Khairul merupakan anak kelahiran Kuala Lumpur, memulakan kerjaya awal dalam perkhidmatan awam sebagai Penolong Penerbit Rancangan MEPTV Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) 1998 dan Artis Berjadual RTM (2000) sebelum berkhidmat dengan JAPEN sebagai Pegawai Penerangan pada 2001.
Beliau telah menerima pendidikan di Sekolah Menengah Subang Jaya dan Sekolah Menengah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 2, Shah Alam, kemudiannya melanjutkan ke peringkat Sarjana Muda Kepujian Kajian Sebaran Am Komunikasi Massa, Institut Teknologi MARA (ITM) 1998 dan mendapat Sarjana Pengajian Media & Informasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) 2008.
Beliau yang mempunyai pengetahuan luas dalam bidang pengurusan isu, gerak saraf dan komunikasi media siber pernah menjawat jawatan penting di peringkat negeri, jabatan dan kementerian.
Antaranya, Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan & Analisis Maklumat Kementerian Penerangan (2001-2006), Penolong Pengarah JAPEN Selangor (2008-2009), Ketua Penolong Pengarah / Timbalan Pengarah Bahagian Gerak Saraf & Pengurusan Isu (GSPI) JAPEN (2009) dan Timbalan Pengarah Bahagian Media Siber JAPEN (2018).
Selain itu, Pengarah Bahagian Penerbitan Dasar Negara JAPEN (2019), Pengarah JAPEN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (2019), Setiausaha Bahagian Komunikasi Strategik Kementerian Komunikasi & Multimedia (2021-2023), dan Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat (PKPM) JAPEN .
“Beliau juga merupakan Naib Presiden Institut Perhubungan Awam Malaysia (IPRM), sebuah badan peneraju yang berperanan dalam memartabatkan profesionalisme industri perhubungan awam di Malaysia.
“Dengan pengalaman signifikan 25 tahun dalam bidang penerangan dan komunikasi strategik, diyakini pelantikan Erwin Khairul dapat memantapkan peranan JAPEN sebagai peneraju komunikasi kerajaan yang lebih cemerlang dan berwibawa, ”kata kenyataan itu.
Terdahulu, Erwin Khairul telah menerima watikah penempatan daripada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Hj. Abdul Aziz, dekat sini pada Isnin.
Sesi penyampaian watikah tersebut disaksikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Datuk Dr. Mohd Bakhari Ismail; Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Aida Maizura Mazlan.
Turut menerima pelantikan, Timbalan Ketua Pengarah (Kandungan Digital) JAPEN, Wan Saidatul Shafina Mohd Amin; dan Timbalan Ketua Setiausaha (Sumber Asli) Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Khalid Mohamed.
Dalam pada itu, Kementerian Komunikasi menerusi catatan di media sosial berkata Ketua Setiausahanya, Datuk Abdul Halim Hamzah bersama-sama seluruh warga kementerian mengucapkan sekalung penghargaan dan selamat bersara kepada Julina Johan.
“Terima kasih atas segala khidmat bakti, sumbangan dan jasa yang dicurahkan sepanjang perkhidmatan, khususnya dalam menerajui JAPEN, ”katanya. – SUARA.TV



