Jika ada rundingan di belakang, lebih wajar Pas tinggalkan PN secara sukarela, pergilah bersama Umno – Tun Faisal

KUALA LUMPUR – Jika benar khabar-khabar angin bahawa Pas telah mengadakan rundingan dengan Umno dan juga bahawa Pas tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan akan ditawarkan kerusi Adun lantikan selepas PRN Johor, maka bukankah lebih baik dan lebih wajar Pas secara sukarela meninggalkan Perikatan Nasional (PN) dan bersama dengan Umno dalam Muafakat Nasional (MN).

Menurut Ketua Penerangan Bersatu Datu Tun Faisal Ismail Aziz, jika khabar-khabar angin ini benar, tidak wajar untuk Pas terus mempengerusikan PN.

“Bukankah itu lebih baik daripada Pas dilihat cuba mensabotaj Bersatu, PN dan parti-parti lain yang mahu bersama PN dan bertanding dalam PRN dengan cara yang bermaruah?

“Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, Pas tidak komited dan tiada kesetiaan terhadap PN dan jenama Perikatan Nasional. Malah jika benar kenyataan media versi awal semalam adalah pendirian Pas, maka dalam hal berkaitan PRN Johor, Negeri Sembilan dan Melaka, pendirian Pas ini adalah bertentangan dengan Perlembagaan PN dan kepentingan PN apabila tidak mahu menyertai pilihan raya.

“Saya pernah nyatakan sebelum ini, “apabila Pas dilihat melengah-lengahkan persiapan PRN, tidak memanggil mesyuarat MT, mesyuarat rundingan kerusi dan mesyuarat jawatankuasa electoral pact, timbul pelbagai spekulasi di sebalik tindakan Pas ini.

“Lebih-lebih lagi apabila ada desas-desus kononnya terdapat tawaran daripada Umno untuk memberi Pas jawatan Adun lantikan dengan syarat Pas tidak bertanding di Johor,” dakwanya.

Mengulas perkara itu, Tun Faisal berkata, perenggan kedua kenyataan media yang disiarkan lebih awal dan kemudiannya dipadamkan dan dikatakan ‘fake’, disebut:-“Pilihan Raya Negeri Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.

“Mesyuarat telah membuat ketetapan bahawa Perikatan Nasional tidak akan menyertai Pilihan Raya Negeri Johor, Pilihan Raya Negeri Sembilan dan Pilihan Raya Negeri Melaka yang akan datang.
Sehubungan itu, sebarang penggunaan Lambang Bendera Perikatan Nasional dalam ketiga-tiga pilihan raya negeri tersebut adalah tidak dibenarkan sama sekali.”

“Pada perenggan ketiga pula disebut:-“Perhubungan Perikatan Nasional Negeri. Mesyuarat turut memutuskan untuk menggantung sementara Pengerusi serta Ahli Jawatankuasa Perhubungan Negeri Johor, Negeri Sembilan dan Negeri Melaka sehingga satu ketetapan baharu dibuat oleh Kepimpinan Tertinggi Perikatan Nasional.”

“Jika kenyataan awal ini adalah pendirian Pas sebelum Mesyuarat MT PN maka wajar jika ditanya apakah muslihat yang sedang dimainkan oleh Pas? Apakah sudah ada rundingan di belakang-belakang dengan pihak tertentu sama ada dengan Umno ataupun dengan Pakatan Harapan yang tidak dimaklumkan kepada Majlis Tertinggi Perikatan Nasional? Adakah Pas komited dengan PN atau mahu bersama MN atau bersama Pakatan Harapan? soal beliau.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat