KUALA LUMPUR – Sesuatu masalah yang dihadapi dan menghimpit pengguna boleh diselesaikan sepenuhnya jika ada pihak tahu apa yang sepatutnya dilakukan dan ia dilaksanakan dengan konsisten.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata ia boleh diibaratkan sebagai sebuah kunci yang boleh membuka sebuah peti besi besar untuk mendapat jawapan apa isi di dalam peti itu.
“Jika kita ada kuncinya, mangga atau peti yang sebesar mana pun kita boleh membukanya asalkan kita memiliki kunci itu, ia sama dengan apa yang PPIM lakukan kerana kita ada kunci itu untuk membantu menyelesaikan masalah,” katanya ketika ditemui Suara TV hari ini.
Menurut beliau, hasil pemerhatian PPIM pengguna di negara ini menghadapi kira-kira 40 masalah pelbagai kategori seperti masalah penipuan (scam), Ah Long, pinjaman, masalah tanah, perumahan dan kewangan melibatkan ramai orang.
“PPIM boleh menyelesaikan masalah yang dihadapi hasil aduan orang ramai dan kerjasama dengan pelbagai agensi untuk mencari jalan penyelesaian,” katanya.
Datuk Nadzim mengambil contoh masalah Ah Long yang dihadapi seorang mangsa yang berdepan tuntuan tidak masuk akal oleh Ah Long walaupun sudah membayar balik lebih daripada jumlah pinjamannya.
“Mangsa meminjam RM50,000 dan kemudian sudah membayar lebih RM100,000 tetapi Ah Long menuntut lagi bayaran sehingga hampir RM1 juta yang tidak masuk akal.
“Hasil bantuan PPIM, Ah Long bersetuju untuk memulangkan semula bayaran lebihan yang dibuat oleh mangsa,” katanya.
Sementara itu, orang ramai yang berdepan masalah anak-anak atau ahli keluarga yang dibuli juga boleh terus membuat aduan kepada PPIM untuk mendapatkan bantuan melalui Anti Bully Center (ABC) yang akan bertindak segera sebaik menerima panggilan.
“Hanya dengan satu panggilan sahaja kita akan terus gerakkan tindakan, kita akan hantar wakil kita untu bertemu dengan pengadu dan selesaikan masalah yang berlaku,” katanya.
Sejak diwujudkan pada Ogos tahun lepas, PPIM sudah menyelesaikan kira-kira 50 masalah buli melibatkan pelbagai mangsa.
Pengguna boleh terus menghubungi ABC di 013-6116666 untuk mendapatkan bantuan menyelesaikan masalah buli.
Pihak PPIM akan menggerakkan wakilnya sebai panggilan dan butiran aduan diterima.


