“Kita buat rumah, kita pula disuruh berambus, podah” – Muhyiddin tidak akan tinggalkan PN

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak akan mati dan akan mencari atau membentuk satu gabungan politik baharu sekiranya tidak lagi bersama-sama Perikatan Nasional (PN).

Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, parti tersebut akan terus bergerak ke hadapan walaupun disingkirkan daripada gabungan PN.

Bersatu katanya, tidak berhasrat untuk meninggalkan PN yang diasaskan bersama-sama dengan Pas sejak awal lagi.

Muhyiddin mempersoalkan desakan supaya Bersatu meninggalkan gabungan tersebut sedangkan parti itu menyumbang dan memainkan peranan penting dalam penubuhan serta kemajuan PN.

“Jika menggunakan nama PN, ada empat parti di dalamnya, Bersatu, Pas, Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) dan juga Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).

“Kalau timbul masalah bawa kepada Majlis Presiden ada empat parti. Kalau nak keluarkan (singkir parti komponen daripada PN) tidak boleh kalau tidak dipersetujui semua pihak, perlu ada (keputusan) konsensus.

“Tetapi jika keluar PN, kita akan cari gabungan baharu kerana Bersatu tidak akan mati. Sebagai sebuah parti politik kita akan abadi, kita akan jadi parti yang lebih besar,” katanya menurut MalaysiaGazette.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata demikian ketika berucap dalam Pelancaran Jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Bakri, Muar malam tadi.

Turut hadir Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin; Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Pengerusi Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Bekas Pengerusi PN itu berkata, Bersatu mempunyai pendirian tersendiri dalam menghadapi situasi berkenaan dan parti tersebut kini mahu disingkirkan walaupun dari ‘rumah’ yang dibinanya.

“Dia nak singkir dari rumah yang kita bina, wajar tak? Dia nak kita berambus, kita buat rumah, kita pula disuruh berambus, podah.

“Jangan perlekeh kami, jangan perbodoh kami, jangan hina kami, jangan main-main dengan kami,” tegas beliau lagi sambil disambut sorakan ahli dan jentera parti.

Katanya lagi: “Kalau PN tidak boleh lagi diperbaiki lagi…kalau ada tindakan sehingga dikatakan PN sudah toksik…Apa kita nak buat.”

Sambil merujuk kepada tindakan PN menghentikan perkhidmatan Dr Mohd Radzi sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya dan Azmin sebagai Timbalan Setiausaha Agung, Muhyiddin mengingatkan parti dalam gabungan itu agar tidak memperlekehkan Bersatu.

“Datuk (Dr Radzi) kena tendang…Datuk (Azmin) pun kena tendang. Ini apa?? Jangan perbodohkan kami…jangan tendang kami.

“Kita akan pertahankan Bersatu sampai bila-bila. Jangan cuba pijak kami. Kami ada kekuatan. Kami ada semangat. Jangan main-main dengan kami,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat