ASHGABAT (TURKIMENISTAN) – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kejayaan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) memperoleh kepentingan dalam antara telaga gas terbesar dunia di Turkmenistan sebagai pencapaian luar biasa yang mengukuhkan kedudukan syarikat itu dalam industri minyak dan gas global.
Menurut beliau, perjanjian yang dimeterai hasil rundingan dengan kerajaan Turkmenistan bukan sahaja meningkatkan keupayaan Petronas sebagai pemain utama industri tenaga dunia, malah membantu menjamin bekalan gas serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pengeksport tenaga.
“Ini satu kejayaan luar biasa yang meletakkan Petronas sebagai antara pemilik telaga gas terbesar di dunia,” katanya kepada media Malaysia sebelum mengakhiri lawatan rasmi dua hari ke Turkmenistan, pada Jumaat.
Anwar berkata, usaha mendapatkan kepercayaan kerajaan Turkmenistan bermula sejak 2024 apabila Petronas memaklumkan kepadanya mengenai keperluan memperkukuh hubungan dengan Presiden Turkmenistan, Serdar Berdimuhamedov, bagi memperluaskan peranan syarikat itu dalam pembangunan sektor minyak dan gas negara berkenaan.
Beliau berkata, rekod prestasi cemerlang Petronas sebagai penggerak dan pengurus industri minyak dan gas bertaraf antarabangsa turut menjadi faktor utama yang menarik minat Turkmenistan untuk menjalinkan kerjasama lebih erat.
Selain penglibatan dalam sektor tenaga, Anwar berkata Malaysia turut menawarkan kerjasama dalam bidang pemindahan teknologi, latihan profesional menerusi Universiti Teknologi Petronas (UTP) serta Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) di bawah Kementerian Luar.
Menurut beliau, langkah tersebut membantu meningkatkan keyakinan kerajaan Turkmenistan terhadap kemampuan Malaysia sebagai rakan strategik jangka panjang.
“Keputusan ini bukan sahaja memberikan pengiktirafan tinggi kepada Petronas dan Malaysia, malah menjanjikan pulangan ekonomi yang besar kepada syarikat itu,” katanya.
Anwar turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Turkmenistan atas keyakinan yang diberikan kepada Petronas dan Malaysia, sambil menyatakan hubungan erat kedua-dua negara membuka peluang kerjasama yang lebih luas dalam pelbagai sektor.
Beliau berkata, Malaysia dan Turkmenistan kini sedang meneroka kerjasama baharu meliputi bidang sains, teknologi, penyelidikan, pendidikan, semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI).
Terdahulu, Anwar menghadiri Forum Turkmenistan-Malaysia sempena ulang tahun ke-30 hubungan kerjasama dua hala dalam sektor minyak dan gas yang turut dihadiri Presiden Berdimuhamedov.
Lawatan itu merupakan lawatan rasmi pertama Anwar ke Turkmenistan dan lawatan kelima oleh seorang Perdana Menteri Malaysia ke negara Asia Tengah berkenaan. – BERNAMA



