KUALA LUMPUR – Populariti sukan pickleball yang semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat kini diterjemahkan ke layar menerusi telefilem terbaharu platform penstriman UTV, “Dink! I Love You”, yang menggabungkan elemen romantik, persahabatan dan kesukanan dalam satu naskhah.
Telefilem arahan Boy Koci terbitan Motio Studio itu mula ditayangkan di aplikasi UTV pada 18 Jun lalu, dengan menampilkan Anna Jobling, Arfie Shah dan Aedy Ashraf sebagai teraju utama.
Majlis pelancaran telefilem tersebut berlangsung meriah di Pickle Social Club, Bukit Kiara, lokasi yang menjadi simbolik kepada perkembangan pesat sukan pickleball di negara ini. Lebih menarik, pelancaran itu turut diserikan dengan penganjuran Friendly Tournament Allstars Picklebash 2.0 oleh Usanita Entertainment yang menghimpunkan barisan selebriti tempatan dalam suasana santai dan kompetitif.
Antara artis yang memeriahkan kejohanan tersebut ialah Fattah Amin, Awal Ashaari, Scha Alyahya, Nora Danish, Ajai, Anna Jobling, Arfie Shah, Dottie, Liyana Jasmay dan Ziha Salleh, sekali gus membuktikan bahawa sukan pickleball bukan lagi sekadar aktiviti riadah, malah telah menjadi sebahagian daripada gaya hidup dalam kalangan selebriti tempatan.

Menurut Presiden UTV, Datuk Adzliana Prof. Datuk Seri Dr. Hasan atau Datuk Nana, pemilihan pickleball sebagai latar utama telefilem itu dibuat kerana sukan berkenaan sedang berkembang pesat dan semakin diminati oleh pelbagai lapisan masyarakat.
“Kalau sebelum ini saya pernah menghasilkan drama berunsurkan komedi romantik, percintaan, seram dan thriller, kali ini kami mahu tampil dengan sesuatu yang berbeza. Pickleball sedang menjadi fenomena dan dimainkan oleh pelbagai lapisan masyarakat. Saya fikir inilah masa yang sesuai untuk mengangkat sukan ini dalam sebuah telefilem,” katanya.
Beliau berkata, UTV sentiasa berusaha menghasilkan kandungan yang relevan dengan perkembangan semasa, selain memberi kelainan kepada penonton.
“Kalau badminton atau bola sepak sudah banyak dipaparkan dalam drama, mengapa tidak kita cuba sesuatu yang baharu? Harapan saya, telefilem ini bukan sahaja menghiburkan, malah dapat memperkenalkan lagi sukan pickleball kepada masyarakat,” katanya lagi.
Mengisahkan Diba, seorang pemain pickleball berbakat yang meninggalkan pasangan lamanya, Arman, sebelum memilih Ghazali sebagai rakan sepasukan baharu, “Dink! I Love You” memaparkan perjalanan seorang pemain yang tidak mempunyai pengalaman dalam sukan tersebut sehingga berjaya membina keyakinan diri melalui latihan, disiplin dan sokongan daripada Diba.
Di sebalik kisah cinta yang dipaparkan, telefilem ini turut mengetengahkan nilai persahabatan, kepercayaan dan semangat berpasukan yang menjadi asas dalam dunia sukan.

Bagi memastikan setiap babak di gelanggang kelihatan autentik, barisan pelakon menjalani latihan intensif selama kira-kira seminggu sebelum penggambaran bermula. Mereka turut dibimbing oleh jurulatih serta pemain berpengalaman bagi memahami teknik permainan, peraturan dan pergerakan asas pickleball.
Menurut pihak produksi, cabaran terbesar adalah memastikan setiap pelakon dapat menghidupkan watak masing-masing mengikut tahap kemahiran yang ditetapkan dalam skrip. Ada yang perlu kelihatan seperti pemain berpengalaman, manakala ada yang perlu mempamerkan perkembangan daripada seorang pemain baharu kepada atlet yang lebih yakin.
Penggambaran telefilem itu turut dilakukan dalam tempoh yang padat apabila keseluruhan produksi diselesaikan hanya dalam masa tujuh hari, termasuk empat hari khusus bagi merakam babak-babak di gelanggang pickleball.
Dengan gabungan elemen romantik, komedi dan kesukanan, “Dink! I Love You” bukan sahaja menawarkan hiburan kepada penonton, malah menjadi antara naskhah tempatan terawal yang mengangkat fenomena pickleball sebagai teras penceritaan. Pelancarannya yang disertai kejohanan selebriti turut memperlihatkan bagaimana sukan yang semakin meningkat popularitinya itu kini berjaya menghubungkan dunia hiburan, gaya hidup dan industri kreatif dalam satu platform.


