KUALA LUMPUR – Kritikan politik hendaklah dijawab secara politik dan tidak sewajarnya berlindung di sebalik istana.
Naib Presiden Amanah Datuk Mahfuz Omar berpandangan bahawa kenyataan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi yang menegaskan beliau bukan bersikap sombong seperti yang didakwa, sebaliknya hanya menjalankan tanggungjawab kepada institusi diraja dan memelihara kesejahteraan rakyat Johor, sebagai respons terhadap teguran dan nasihat Perdana Menteri dengan mengaitkan peranan dan hubungan dengan institusi diraja, adalah sesuatu yang tidak wajar dalam konteks menjawab kritikan dan teguran politik.
Tegas Mahfuz, institusi Raja-Raja Melayu merupakan payung negara dan lambang perpaduan rakyat yang wajib dihormati oleh semua pihak.
Justeru katanya, institusi yang begitu tinggi martabatnya tidak seharusnya dijadikan benteng atau perisai untuk mempertahankan kedudukan politik mana-mana individu.
“Apa yang dibangkitkan oleh Perdana Menteri adalah persoalan politik, kepimpinan dan semangat kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan. Maka jawapan yang sepatutnya diberikan juga mestilah berasaskan fakta politik, rekod pentadbiran dan sikap kepimpinan, bukannya dengan mengheret institusi istana ke dalam polemik politik semasa.
“Dalam sebuah sistem demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan, pemimpin politik perlu mempunyai keberanian untuk mempertahankan pendirian mereka sendiri. Jika ada dakwaan bahawa seseorang pemimpin bersikap sombong atau sukar bekerjasama, maka jawapan terbaik ialah membuktikan sebaliknya melalui tindakan, prestasi dan hubungan baik dengan rakan-rakan dalam kerajaan.
“Rakyat hari ini cukup matang untuk menilai. Mereka boleh membezakan antara penghormatan kepada institusi Raja dengan pertanggungjawaban seorang ahli politik terhadap kenyataan dan tindakannya.
“Saya ingin menegaskan bahawa tidak ada sesiapa yang mempertikaikan kedudukan serta kebijaksanaan institusi diraja. Namun pada masa yang sama, ahli politik juga tidak boleh menggunakan kedudukan dan penghormatan rakyat terhadap institusi tersebut untuk mengelakkan diri daripada menjawab persoalan yang ditimbulkan dalam ruang politik,” katanya.
Menurut Mahfuz, pemimpin yang benar-benar kuat tidak memerlukan perlindungan politik daripada mana-mana institusi. Mereka berdiri atas kekuatan hujah, prestasi dan keupayaan menyatukan rakyat.
“Justeru, saya menyeru semua pemimpin politik agar lebih bertanggungjawab dan berhemah dalam berdepan kritikan. Jangan sesekali meletakkan institusi Raja dalam kedudukan yang boleh menimbulkan persepsi bahawa ia sedang digunakan untuk mempertahankan kepentingan politik mana-mana pihak.
“Isu politik hendaklah dijawab secara politik. Jangan berlindung di sebalik istana,” selar beliau.


