KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan melaksanakan pengambilan warden sepenuh masa dari kalangan bekas Tentera di kesemua 58 Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) seluruh Malaysia.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, hal ini susulan hasil kajian mendapati warden bekas tentera berkesan mengawal disiplin dan keselamatan fizikal asrama.
“Menerima secara rasmi laporan lengkap kajian keberkesanan projek rintis pelantikan warden luar sepenuh masa dalam kalangan bekas tentera yang dilaksanakan di MRSM Besut dan MRSM Balik Pulau daripada Ketua Penyelidik Institut Pengajian Sosial Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman.
“Antara dapatan utama kajian yang dicatatkan dalam Buku Laporan setebal 191 muka surat ini, antara lainnya ialah warden bekas tentera berkesan mengawal disiplin dan keselamatan fizikal asrama.
“Juga penerimaan positif daripada pelajar, ibu bapa dan pentadbir.
“Selain itu, kehadiran warden yang kerap dan sistematik meminimumkan ruang berlakunya Buli dan vandalisme.
“Bahkan, pelajar berasa selamat dan lebih berdisiplin dalam mematuhi waktu, kekemasan diri dan asrama, mencanai nilai hormat dan adab. Mampu memperkukuh dimensi kerohanian pelajar dengan keterlibatan langsung warden dalam aktiviti keagamaan.
“Turut mengurangkan beban guru dengan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada kecemerlangan akademik dan bimbingan sahsiah,” jelas Asyraf.
Menurut beliau, hasil dapatan juga menunjukkan penurunan drastik isu-isu yang terkait dengan masalah disiplin pelajar, malah masalah Buli sepanjang keberadaan warden ini hampir sifar.
Justeru kata Asyraf, berdasarkan laporan positif kajian ini, Majlis Mara akan melaksanakan pengambilan warden sepenuh masa dari kalangan bekas tentera di kesemua 58 MRSM seluruh Malaysia.
“Saya juga meminta pihak UPM bekerjasama menyediakan modul latihan kepada warden-warden baharu ini dan melanjutkan kajian untuk menangani isu buli mental secara holistik.
“Terima kasih dan penghargaan buat seluruh pasuka. penyelidik IPSAS UPM atas kajian menyeluruh dan amat bermanfaat buat Mara dan MRSM,” katanya.


