KUALA LUMPUR – Tidak wajar apabila DAP digambarkan sebagai ancaman ketika musim pilihan raya, tetapi apabila melibatkan pembangunan negeri, pelaburan, infrastruktur dan projek kerajaan, pemimpin yang sama tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama.
Naib Presiden Amanah Datuk Mahfuz Omar mengingatkan Barisan Nasional (BN) Johor supaya tidak menjadikan DAP sebagai musuh ketika berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
“Saya mengambil maklum laporan media mengenai pertemuan dan program bersama antara Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke. Pada prinsipnya, tiada siapa mempertikaikan keperluan pemimpin kerajaan bekerjasama demi kepentingan rakyat dan pembangunan negeri. Malah, kerjasama antara Kerajaan Negeri Johor dan Kerajaan Persekutuan adalah sesuatu yang wajar dan perlu disokong.
“Namun, apa yang menimbulkan persoalan ialah percanggahan naratif politik yang dimainkan sebelum ini. Rakyat berhak mengetahui pendirian sebenar, jika selama ini DAP dan pimpinan Pakatan Harapan (PH) sering dijadikan sasaran politik, mengapa hari ini tiada masalah untuk berkongsi pentas, menghadiri program bersama dan melaksanakan projek secara bersama?
“Adakah naratif yang dimainkan sebelum ini sekadar retorik politik untuk meraih sokongan pengundi Melayu? Atau adakah pendirian yang dipegang selama ini sebenarnya tidak konsisten?
“Jangan jadikan DAP musuh ketika berkempen, rakan ketika memerintah. Rakyat semakin matang menilai politik. Tidak wajar apabila DAP digambarkan sebagai ancaman ketika musim pilihan raya, tetapi apabila melibatkan pembangunan negeri, pelaburan, infrastruktur dan projek kerajaan, pemimpin yang sama tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama.
“Politik seperti ini hanya menghakis kepercayaan rakyat terhadap keikhlasan seseorang pemimpin,” tegas Mahfuz.
Menurut beliau, Kerajaan Perpaduan memerlukan kejujuran, bukan sandiwara politik.
“Hakikatnya, Johor turut menikmati manfaat hasil kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.
“Banyak projek strategik melibatkan kementerian yang diterajui pemimpin PH.
“Justeru, adalah tidak adil apabila kejayaan mahu dikongsi, tetapi pada masa yang sama sentimen kebencian terhadap rakan dalam Kerajaan Perpaduan terus dimainkan demi kepentingan politik sempit,” bidas beliau.
Menurut beliau, politik matang menuntut konsistensi dan jika kerjasama dengan DAP dan PH dianggap baik untuk rakyat hari ini, maka pemimpin perlu berani mengakui hakikat tersebut.
“Sebaliknya, jika sebelum ini rakyat ditakut-takutkan dengan pelbagai persepsi negatif terhadap DAP, maka rakyat juga berhak bertanya: Siapakah yang sebenarnya mengelirukan rakyat selama ini?
“Rakyat Johor tidak memerlukan politik bermuka-muka. Rakyat mahukan pemimpin yang bercakap benar, konsisten dengan pendirian dan jujur dalam berpolitik.
“Jangan jadikan sentimen kebencian sebagai modal politik ketika pilihan raya, tetapi akhirnya bergantung kepada pihak yang sama apabila berada dalam kerajaan. Politik yang matang ialah politik yang berteraskan kejujuran, bukan politik dua wajah.
“Jika semalam DAP dijadikan ancaman, mengapa hari ini boleh menjadi rakan pembangunan? Rakyat berhak mendapat jawapan yang jujur,” ujar Mahfuz lagi dalam kenyataan media.



