KUALA LUMPUR – Keyakinan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa Perikatan Nasional (PN) mampu memenangi kesemua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya akan datang sebagai pandangan peribadi yang tidak semestinya mencerminkan realiti politik semasa.
Pengerusi Umno Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, beliau mengakui gelombang sokongan yang berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu banyak memihak kepada PN.
Bagaimanapun katanya, keadaan politik kini sudah berubah selepas lebih 3 tahun berlalu dan sokongan rakyat tidak boleh dianggap milik mana-mana pihak secara mutlak.
“Iyalah, pada waktu dia cakap tu ‘wave’ tu memang dia punya. Pada 2022 saya akui ombak tu dia punya. Umno kehilangan pada waktu itu nak dapatkan sokongan.
“Tapi selepas 3 tahun setengah ni bukan semua ‘wave’ tu dia punya, bukan semua ombak tu dia punya. Bagilah kat orang lain, takkanlah macam tu,” katanya menurut Harian Metro di Kuala Nerang pada Isnin.
Mahdzir yang juga bekas Menteri Besar berkata, dalam politik tiada jaminan sesuatu keadaan akan kekal sebagaimana berlaku sebelum ini.
“Dalam konteks politik tu tak boleh sebut kata macam hari-hari tu aku punyalah. Dulu-dulu arwah Tan Sri Jins Shamsuddin selalu buat filem, ‘esok masih ada’, jadi saya pun nak cakap macam tu jugalah.
“Saya ingat tak payah komen banyak, cuma saya nak katakan bahawa memang perangai MB macam tu, jadi bukan baru. Kita dengar sajalah apa dia nak cakap tu dan kita boleh buat analisa sendiri,” katanya.
Mahdzir berkata, terdapat perkara yang tersurat dan tersirat dalam kenyataan politik, namun tidak semuanya menggambarkan keadaan sebenar.
“Bukan soal tak menggentarkan. Soalnya ada benda yang tersurat, ada benda yang tersirat.
“Tapi oleh kerana dia nak cakap depan orang awam, dia cakap semualah, dia cakap keseluruhan, padahal ada benda tu tak betul pun tapi dia cakap juga,” katanya.
Sebelum ini, Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat dilaporkan yakin Pas bersama rakan gabungannya dalam PN mampu memenangi kesemua 36 kerusi DUN Kedah pada pilihan raya akan datang.
Beliau turut menyatakan keyakinan gabungan itu mampu menguasai semua 15 kerusi Parlimen di negeri itu termasuk merampas Parlimen Sungai Petani serta tiga kerusi DUN yang kini dipegang Pakatan Harapan (PH), iaitu Kota Darul Aman, Bakar Arang dan Sidam.


