KUALA LUMPUR – Setiausaha Pemuda UMNO Malaysia, Hafiz Ariffin berpendapat kenyataan balas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke terhadap Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi masih belum menjawab beberapa persoalan utama yang dibangkitkan berhubung isu jemputan ke program Kementerian Pengangkutan.
Menurut beliau, sebahagian besar kenyataan Anthony lebih tertumpu kepada menyenaraikan program-program yang pernah dihadiri oleh Onn Hafiz atau wakil Kerajaan Negeri Johor berbanding menjawab isu khusus yang dibangkitkan oleh Menteri Besar Johor itu.
“MB bercakap tentang program yang tidak dijemput, tetapi Anthony menjawab dengan program yang memang dijemput.
“Dari sudut logik hujah, ini bukan jawapan kepada premis yang dibangkitkan. Ia lebih kepada menunjukkan banyak program yang pernah dijemput, tetapi tidak menjawab mengapa program tertentu tidak melibatkan Kerajaan Negeri Johor,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Hafiz berkata, antara perkara yang masih belum dijawab ialah dakwaan Onn Hafiz berhubung lawatan kerja Menteri Pengangkutan ke tapak projek RTS Link pada April lalu.
Menurut beliau, Onn Hafiz sebelum ini mempersoalkan mengapa Kerajaan Negeri Johor tidak dijemput sedangkan beberapa pemimpin DAP Johor dilihat hadir dalam program berkenaan.
“MB bertanya sama ada pemimpin DAP Johor yang hadir itu merupakan vendor atau pembekal kerana beliau dimaklumkan jemputan hanya melibatkan vendor.
“Namun perkara itu tidak disentuh dalam kenyataan balas Anthony,” katanya.
Selain itu, Hafiz turut menegaskan persoalan mengenai pengumuman jemputan kepada Onn Hafiz yang dibuat ketika pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan Negeri Sembilan juga masih belum dijawab.
Katanya, Menteri Besar Johor sebelum ini mendakwa beliau hanya mengetahui mengenai jemputan tersebut menerusi laporan media sedangkan surat rasmi daripada Kementerian Pengangkutan masih belum diterima.
“Anthony hanya menyatakan surat jemputan akan dihantar segera, tetapi tidak menjelaskan mengapa jemputan itu diumumkan terlebih dahulu di pentas politik.
“Dalam peperiksaan boleh jawab apa sahaja, tetapi markah tetap dinilai berdasarkan ketepatan menjawab soalan,” katanya.
Terdahulu, pertikaman lidah antara kedua-dua pemimpin itu tercetus selepas Onn Hafiz secara sinis menyatakan beliau akhirnya menerima jemputan yang “ikhlas” daripada Menteri Pengangkutan untuk menghadiri pelancaran KTM Komuter Selatan.
Anthony kemudiannya membalas dengan menyenaraikan beberapa program Kementerian Pengangkutan yang pernah dihadiri oleh Onn Hafiz atau wakil Kerajaan Negeri Johor selain mempelawa beliau menyertai perjalanan sulung KTM Komuter Selatan minggu hadapan.
Bagaimanapun, menurut Hafiz, beberapa persoalan utama yang dibangkitkan Menteri Besar Johor itu masih belum diberikan penjelasan secara langsung.



