Zahid kena terima hakikat orang tak akan undi calon PM ada kes rasuah, beri laluan Pas jadi PM – Isham Jalil

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi diminta untuk belajar menerima hakikat bahawa tidak ramai orang yang akan undi parti yang calon Perdana Menteri mempunyai rekod 47 kes mahkamah berkenaan rasuah dan salah guna kuasa.

Justeru bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Isham Jalil mengulang cadangan beliau supaya pada kali ini beri laluan kepada Pas untuk jadi Perdana Menteri.

Menurut Isham, Pas adalah parti terbesar di Malaysia kini dan mereka belum pernah jadi Perdana Menteri bahkan mereka juga adalah parti yang mempunyai rekod paling bersih dan paling kurang rasuah dan salah guna kuasa.

“Saya lihat pertelingkahan antara parti-parti Melayu ini berpunca dari persoalan siapa yang akan jadi Perdana Menteri.

“Semua parti Melayu ingin menjadi dominan dan menjadi Perdana Menteri. Namun jika semua mahu jadi dominan maka tiada yang akan jadi dominan tetapi semua akan berpecah dan menjadi lemah dan tidak akan jadi Perdana Menteri.

“DAP akan berkuasa dan menjadi de fakto Perdana Menteri walaupun PKR adalah Perdana Menteri atas nama. Sebab itu kita dapat usul UEC, URA dan ladang babi.

“Umno, PKR, DAP, Bersatu dan lain-lain parti besar semuanya ada kes rasuah yang besar-besar. Pemimpin DAP ada kes terowong ajaib dan PKR isu mafia korporat berbillion yang Anwar Ibrahim selalu buat-buat lupa dalam ucapannya tentang rasuah.

“Oleh itu jika parti-parti Melayu ingin bersatu padu, pemimpin-pemimpin mereka perlu ketepikan cita-cita untuk jadi Perdana Menteri terutama jika mereka ada kes mahkamah berkenaan rasuah dan salah guna kuasa.

“Dan Zahid perlu terima hakikat bahawa tidak ramai orang yang akan undi parti yang calon Perdana Menteri mempunyai rekod 47 kes mahkamah berkenaan rasuah dan salah guna kuasa. Dia perlu ketepikan cita-cita walaupun dia akan kecewa kerana menjadi satu-satunya Presiden Umno selepas Merdeka yang tidak jadi Perdana Menteri. Jika dia degil dan ego, maka Umno akan terus jatuh dan kalah banyak kerusi dalam PRU nanti,” jangka beliau.

Mengulas lanjut perkara itu, Isham berkata, Bersatu pula sudah jadi Perdana Menteri sebanyak dua kali.

Ujarnya, Jika Tan Sri Muhyiddin didapati tidak bersalah dalam kes Jana Wibawa pun, ia masih lebih afdal jika kali ini Bersatu beri laluan dan sokong Pas untuk jadi Perdana Menteri dan menerima parti-parti lain untuk masuk PN.

“Dulu Pas pernah sokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri walaupun Pas mempunyai lebih banyak kerusi dan lebih ramai penyokong berbanding Bersatu. Dan lebih banyak parti-parti kecil lain masuk bergabung dalam PN sebagai payung besar orang-orang Melayu adalah lebih baik untuk penyatuan ummah.

“Jika PAS jadi Perdana Menteri, maka kebarangkalian untuk kita bersihkan negara ini dari rasuah menjadi lebih tinggi dan realistik. Kerana parti-parti lain bukan sahaja ada rekod kes rasuah yang banyak malah mempunyai banyak hubungan dengan taikun-taikun dan taukey-taukey yang telah bersarang sekian lama menjadikan rasuah sukar untuk dihapuskan.

“Jika parti-parti lain tidak mahu berkerjasama untuk penyatuan ummah kerana mereka mahu kuasa dan jadi Perdana Menteri, saya yakin Pas akan jalan terus dan istiqamah dalam perjuangan seperti biasa.

“Jika orang baik tidak berjuang dalam politik di Malaysia ini, orang-orang jahat akan terus berkuasa. Dalam sejarah dunia, biasanya penyatuan hanya berlaku selepas perang. Kita perlu tewaskan orang-orang jahat yang tidak mahu penyatuan waima dengan jalan perang selepas jalan perdamaian telah tertutup. Mungkin barulah selepas itu kita akan dapat perdamaian dan penyatuan.

“Sama-sama kita berusaha ke arah penyatuan ummah dan ke arah negara yang bersih dari rasuah,” seru beliau.

Menurut Isham, sejak 4 tahun lepas saya telah usahakan untuk menyatukan parti-parti Melayu dalam penyatuan ummah.

“Saya telah nyatakan bahawa jika Umno tinggalkan DAP dan berhenti menjadi UMDAP justeru bekerjasama dengan Pas dan Bersatu, maka kita bersama boleh menang sekurang-kurangnya 120 kerusi Parlimen di kawasan-kawasan Melayu untuk membentuk kerajaan dan menghalau DAP dari memegang kuasa.

“Namun Presiden Umno tetap memilih untuk bekerjasama dengan DAP dan menjadi UMDAP sehingga kini,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat