Kluster Publika Pas hampir sama dengan cara geng SD? -Tun Faisal

KUALA LUMPUR – Kluster Publika dalam Pas mendakwa “Pas adalah parti yang besar, parti yang kuat, mempunyai duit yang banyak, ada jentera yang ramai, ada ahli yang ramai”, maka agak pelik jika cara yang hampir sama dengan cara Geng SD digunakan untuk mengambil alih Perikatan Nasional (PN).

Ketua Penerangan Bersatu Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, sepatutnya sebagai “parti yang besar, parti yang kuat, mempunyai duit yang banyak, ada jentera yang ramai, ada ahli yang ramai”, Kluster Publika dalam Pas perlu ada keyakinan untuk bergerak ‘solo’.

“Jika tidak, mereka sepatutnya berkeyakinan untuk membentuk parti gabungan mereka sendiri, bukan bergantung harap kepada PN.

“Hari cara Pas mengendalikan PN telah merosakkan jenama dan pengurusan PN.

“Pelantikan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi PN yelah menjadikan PN tidak efesien dan tidak efektif. Keputusan lambat dibuat dan tindakan lambat dilaksanakan. Hendak menamakan Ketua Pembangkang pun mengambil masa begitu lama sampai berbulan-bulan. Surat mengenai status Ahli Parlimen Bersatu yang dipecat juga telah dihantar seawal 23 Februari 2026, tetapi hendak menghantar pemakluman kepada Speaker Dewan Rakyat pun mengambil masa yang lama.

“Salah satu sebab kenapa PN jadi tidak efisien adalah kerana Dr Samsuri sendiri tidak responsif terhadap banyak perkara. Pengerusi PN ‘ghaib’ sedangkan banyak isu yang berlaku di Negeri Sembilan, di Johor, dalam PH-BN dan dalam PN. Tidak nampak kenyataan berkaitan.

“Dalam tempoh 103 hari dia menjadi Pengerusi PN, begitu banyak isu dalaman yang timbul tidak diselesaikan dan tidak nampak inisiatif untuk memanggil anggota PN untuk menyelesaikan perkara-perkara berbangkit. Malah dimaklumkan selepas kenyataan Presiden Pas untuk mengkaji hubungan dengan Bersatu, ada permintaan untuk tiga Presiden parti komponen PN untuk berjumpa dengannya tetapi dia tidak responsif,” dakwa Tun Faisal.

Menurut beliau, ini berbeza sewaktu belum dapat jawatan, sanggup ke London, ke Dubai dan ke rumah Tan Sri Muhyiddin untuk buat pertemuan.

“Hari ini DUN Johor dan Negeri Sembilan telah dibubarkan, tetapi Dr Samsuri slow seperti biasa, tiada mesyuarat persiapan, tiada mesyuarat rundingan kerusi dan tiada mesyuarat electoral pact.

“PN juga jadi tidak efisien dan efektif akibat sistem yang sedang cuba diamalkan. Dr Samsuri hanya Naib Presiden Pas. Sebagai Naib Presiden dia tiada kuasa eksekutif. Lebih teruk lagi, dia terpaksa merujuk kepada Presiden dan Majlis Syura sebelum membuat keputusan. Sebab itu sebelum ini ditegaskan agar hanya Presiden parti sahaja yang sepatutnya memegang jawatan Pengerusi PN kerana mereka mempunyai kuasa eksekutif.

“Ini mengakibatkan keputusan-keputusan lambat dibuat dan menurut seorang lagi Naib Presiden Pas Datuk Seri Sanusi Md Nor, mereka tidak boleh membuat keputusan dalam Mesyuarat MT PN kerana semuanya perlu dirujuk kepada Presiden dan Majlis Syura. Macam tu, tiada gunalah mereka berada dalam MT PN.

“Lebih teruk lagi apabila dalam Mesyuarat MT PN yang dipengerusikan oleh Naib Presiden Pas, Setiausaha PN adalah Setiausaha Agung Pas, yang dihadiri juga oleh Timbalan Presiden Pas, Naib-Naib Presiden Pas dan Ketua Pemuda Pas, mesyuarat ini tidak boleh memuktamadkan keputusan dan keputusan yang telah mendapat konsensus daripada ahli-ahli MT PN pula boleh dipertikaikan dan di’veto’ oleh Presiden Pas yang tidak berada dalam Mesyuarat MT PN dan bukan anggota MT PN.

Tegas Tun Faisal, PN bukan Pas dan Pas bukan PN.

“Saya telah mengingatkan Tan Sri Annuar Musa bahawa Pas tidak boleh menukar PN mengikut kaedah Pas sewaktu dia bersungguh-sungguh sangat mencadangkan nama Dr Samsuri untuk menjadi Pengerusi PN.

“PN tidak mengamalkan sistem Mullah seperti Pas. PN dianggotai oleh 3 parti komponen yang mempunyai perlembagaan dan sistem pentadbiran yang terlalu berbeza dengan Pas. Mungkin ini antara sebab kenapa Pas tidak boleh kekal dalam begitu banyak parti gabungan sebelum ini selain tendency untuk ‘merampas’ parti gabungan apabila merasakan diri mereka kuat,” katanya.

Menurut beliau, Bersatu diasaskan hasil keberanian dan iltizam Muhyiddin ketika negara memerlukan sebuah wadah politik baharu. Parti itu tidak diwarisi daripada sesiapa. Ia dibina daripada bawah melalui usaha, pengorbanan dan keyakinan terhadap perjuangan yang dibawa.

“Begitu juga dengan Perikatan Nasional. Idea penubuhan PN dicetuskan dan digerakkan oleh Muhyiddin Yassin bersama Bersatu. Perlembagaannya dirangka oleh Bersatu, pendaftarannya diusahakan oleh Bersatu, dan asas organisasinya dibangunkan oleh Bersatu sehingga PN muncul sebagai sebuah gabungan politik yang berpengaruh di negara ini.

“Sebelum ini, wujud usaha daripada kelompok tertentu yang dikaitkan dengan Gerakan SD dan penyokong Hamzah untuk mengambil alih kepimpinan Bersatu serta menyingkirkan Muhyiddin daripada parti yang beliau sendiri asaskan dan bangunkan.

“Hari ini, ramai melihat seolah-olah pendekatan yang hampir sama sedang digerakkan dalam Perikatan Nasional, dengan usaha mengubah keseimbangan asal yang menjadi asas penubuhan gabungan tersebut,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat