“Hanya selangkah menuju Putrajaya, kenapa Pas buat keputusan merugikan”, ini jawapan Pemuda Pas

KUALA LUMPUR – Naib Ketua Pemuda Pas Hanif Jamaluddin berkata, ramai yang tertanya-tanya, kenapa ketika Pas berada dalam keadaan kuat, hanya selangkah lagi menuju Putrajaya, Pas masih sanggup membuat keputusan yang nampak seperti merugikan diri sendiri?

Ujarnya, kalau ikut logik politik biasa, Pas boleh sahaja kekal dengan keadaan sedia ada. Ahli Parlimen paling ramai, kuasai tiga negeri dan kedudukan pula semakin kukuh.

Tetapi kata Hanif, perjuangan Pas bukan sekadar soal kuasa. Kalau kuasa menjadi matlamat utama, sudah tentu keputusan yang dibuat akan berbeza.

“Bagi Pas, prinsip Islam sentiasa lebih penting daripada kedudukan dan jawatan. Selagi prinsip itu dihormati, kerjasama boleh diteruskan.

“Tetapi apabila prinsip mula diketepikan, Pas akan tetap mempertahankannya walaupun terpaksa menanggung risiko.

“Kita pernah melihat perkara yang sama ketika Pas bersama Pakatan Rakyat. Ketika itu peluang untuk memerintah negara memang sangat dekat. Namun apabila berlaku perkara yang bercanggah dengan prinsip perjuangan Pas yang dilanggar oleh DAP, parti ini memilih untuk mempertahankan prinsip tersebut walaupun terpaksa melepaskan peluang besar.

“Dan apa yang menarik, setiap kali Pas berpegang teguh kepada prinsip, Pas tidak semakin lemah. Sebaliknya semakin kuat dan terus berkembang,” katanya.

Hanif menjelaskan, sebab itu Pas tidak pernah meletakkan kuasa sebagai segala-galanya. Kuasa boleh datang dan pergi, tetapi prinsip tidak boleh dijual beli.

“Insya-Allah, selagi Pas istiqamah bersama Islam, perjuangan ini akan terus dipelihara dan diperkukuhkan.

“Yang penting bukan secepat mana kita sampai ke destinasi, tetapi memastikan perjalanan itu sentiasa berada di atas landasan yang betul,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat