GASURA Sasar Letak Calon Bebas Pejuang Masyarakat di 55 Kerusi Parlimen DAP

KUALA LUMPUR – Satu sekretariat dikenali sebagai Gabungan Suara Rakyat (GASURA) diwujudkan dengan matlamat untuk meletakkan seramai 55 orang calon bebas di 55 kerusi Parlimen strategik seluruh negara menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 nanti.

Pengerusi Penyelaras GASURA Datuk Mohd Ridzuan Abdullah berkata kemungkinan besar kawasan kerusi Parlimen yang akan ditandingi oleh barisan calon bebas ini ialah kerusi yang diwakili oleh DAP.

Beliau berkata GASURA bukan setakat hanya memperkenalkan calon tetapi juga akan membimbing individu berkenaan sehingga boleh menjadi wakil rakyat yang mahu menyumbangkan sesuatu kepada pengundi dan memperjuangkan nasib mereka.

“Inisiatif ini memberi tumpuan kepada kawasan bandar, separa bandar dan kawasan yang mempunyai keperluan tinggi terhadap suara rakyat, kepimpinan komuniti serta penyelesaian berasaskan realiti kehidupan masyarakat setempat,” katanya ketika dihubungi Suara TV hari ini.

Menurut beliau yang dikenali sebagai Ridzuan IKHLAS, ada wakil rakyat dalam negara yang memberikan janji memperjuangkan semua isu pengundi semasa berkempen tetapi apabila menang semua janji-janji itu terus tidak kedengaran lagi.

“Ini adalah kerana yang bertanding ialah orang yang perjuangannya berasaskan politik bukan berbakti kepada rakyat, lebih elok kita berikan calon aktivis masyarakat yang boleh menyelesaikan masalah rakyat untuk bertanding,” ujarnya.

Mohd Ridzuan berkata GASURA akan menjalankan proses saringan, pembangunan kapasiti peribadi, libat urus masyarakat serta pemetaan isu setempat bagi memastikan individu yang diketengahkan mempunyai kelayakan, komitmen dan rekod penglibatan yang baik dalam komuniti.

Sekretariat berkenaan akan memastikan proses mengenal pasti kawasan serta calon akan mengambil kira pandangan masyarakat, keperluan setempat serta perkembangan landskap politik semasa.

Mengulas lanjut tentang suasana politik negara, beliau berkata selepas PRU-14 pada Mei 2018 yang menyebabkan Barisan Nasional (BN) kalah, dasar dan perjalanan pentadbiran negara mula terjejas apabila wakil rakyat DAP mula masuk menjadi wakil kerajaan.

Kesan buruk ke atas negara berterusan lagi apabila keputusan PRU-15 yang bercampur-campur menyebabkan sistem dalam negara sukar untuk diperbaiki seperti keadaan sebelum 2018.

“Mana-mana parti pun yang akan menang, siapa pun yang akan jadi Perdana Menteri, kerajaan baharu akan menghadapi kesulitan dalam memulihkan semula sistem dalam negara pada masa itu,” katanya.

Menurut beliau, dua isu yang mesti diletakkan di depan fokus pentadbiran kerajaan baharu ialah soal gaji minimum pekerja di negara ini dan juga kebajikan para peniaga kecil.

“Kos sara hidup di negara ini amat tinggi dan gaji minimum yang ada rendah menyebabkan rakyat berdepan kesusahan untuk menjalani kehidupan harian ditambah pula dengan kenaikan harga pelbagai kos kehidupan seharian.

“Kerajaan baharu juga mesti fokus betul-betul pada peniaga kecil dengan memperbaiki perkhidmatan di PBT untuk beri kemudahan kepada mereka untuk berniaga dengan lebih baik pada masa akan datang,” katanya.

Ketika ini, khabar angin sedang berlegar di seluruh negara adakah PRU ke-16 akan diadakan pada tahun ini memandangkan negeri Johor dan Negeri Sembilan sudah pun membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) mereka untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

author avatar
Ibnu Khusairy Aris
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat